TEMERLOH: Seramai 50 ahli Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Temerloh di sini keluar parti itu semalam dan menyertai UMNO.
Kumpulan itu diketuai Ketua Armada Bersatu Temerloh yang juga Ketua Penerangan Armada negeri, Muhammad Faharuddin Hashim sekali gus melumpuhkan sayap pemuda Bersatu Bahagian Temerloh.
Menurut Muhammad Faharuddin, mereka hilang kepercayaan kepada kepemimpinan atasan parti itu yang lebih mementingkan kuasa dan tidak cakna dengan kebajikan ahli Armada di peringkat bawahan.
“Sejak saya merintis penubuhan dan dilantik menjadi Ketua Armada Temerloh, pemimpin atasan tidak peduli langsung nasib ahli, apatah lagi rakyat sejak parti Bersatu ditubuhkan dan bergerak sehingga kini.
“Ramai anak muda khususnya nasib ahli Armada di sini tidak diendahkan apabila mereka kehilangan pekerjaan ketika ancaman pandemik Covid-19 serta tanpa diberi peluang atau dibantu kebajikan kami oleh pemimpin (Bersatu) peringkat atasan sehingga kini,” katanya kepada pemberita di Rumah Persinggahan bandar Temerloh di sini semalam.
Muhammad Faharuddin menyatakan demikian ketika mengetuai kumpulan seramai 50 orang ahli Armada Temerloh yang mengisytiharkan keluar Bersatu untuk menyertai UMNO serta menyerahkan borang pendaftaran keahlian kepada Ketua Pemuda UMNO Temerloh, Azril Rizal Yusof Mohd. Sarit.
Menurut Muhammad Faharuddin, sejak bergerak dalam Armada, nasib dia bersama ahli bahagian itu tidak dipedulikan pemimpin Bersatu walaupun pernah mengajukan masalah tertentu berkaitan kebajikan ahli ke peringkat atasan parti itu.
“Berasaskan hal berkenaan, saya dan ahli Armada di sini amat kecewa apabila nasib serta kesusahan kami diabaikan sejak Armada ditubuhkan di sini,” katanya.
Beliau berkata, dia sudah lama mahu menyertai UMNO dan membawa bersama 50 ahli termasuk Setiausaha, Penolong Setiausaha, Bendahari dan dua lagi ahli jawatan kuasa Armada.
Selanjutnya, dia berkata, UMNO mempunyai rekod yang sempurna dari segi perjuangan sejak awal ditubuhkan khususnya membela kebajikan rakyat manakala pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN) peringkat negeri dan negara juga cukup cakna dengan kebajikan rakyat semua peringkat.
“Saya bersama rakan bekas Armada rela hati menyertai UMNO tanpa menuntut apa-apa syarat hanya semata-mata untuk bersama (UMNO) bagi mendokong perjuangan pemimpin hari ini untuk kepentingan rakyat dan negara pada masa akan datang,” katanya. –UTUSAN ONLINE










