Ladang Rakyat tidak gagal - Sanusi - Utusan Malaysia

Ladang Rakyat tidak gagal – Sanusi

MUHAMMAD SANUSI MD NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Projek Ladang Rakyat yang diasaskan oleh bekas Menteri Besar, Tan Sri Azizan Abdul Razak tidak gagal, sebaliknya  telah ‘digagalkan’ oleh seorang lagi bekas Menteri Besar iaitu Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mendakwa, Mukhriz bimbang projek itu sekiranya dilaksanakan akan mengharumkan nama Allahyarham Azizan dan Pas dalam kalangan orang miskin.

“Masa Ustaz Azizan, Musang King pun orang belum kenal lagi. Tidak berbangkit sama sekali pada masa itu. Projek (Ladang Rakyat) tak gagal, tapi digagalkan oleh Mukhriz sama macam dia batalkan projek Maahad Tahfiz Sains di Pulau Tuba, alasannya supaya Pas tak berkembang di Langkawi.

“Kelulusan Ladang Hutan untuk tanaman timber latex clon (TLC) berlaku pada 2007, zaman Barisan Nasional (BN) lagi. Zaman Ustaz Azizan diteruskan, tapi bertukar konsep. Balak ditender dan kayu balak buat kali pertama dalam sejarah (dapat) sehektar RM11,000 hingga RM17,000,” katanya di sini, semalam.

Mukhriz sebelum ini dilapor menafikan dakwaan kerajaan pimpinannya ketika itu mempunyai kaitan dengan projek tanaman Musang King di Gunung Inas, Baling yang dikaitkan menjadi punca tragedi kepala air dan banjir lumpur di Kampung Iboi, dekat sini.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi berkata, ketika pentadbiran Azizan juga, projek Ladang Rakyat hanya sempat menanam TLC seluas 162 hektar untuk fasa pertama yang berkonsepkan ladang rakyat dengan pembabitan 300 peserta rakyat miskin.

Tambahnya, setelah kerajaan bertukar pada 2013, ladang rakyat dibatalkan iaitu dua kali oleh kerajaan pimpinan Mukhriz dan sekali lagi ketika era pentadbiran Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah. 

“Tender balak berlaku di antara 2010 dan 2013, namun tebangan belum berlaku (ketika itu) dan kawasan Musang King itu dipercayai dibalak di antara tahun 2018 dan 2019.

“Kalau betul mereka tidak setuju kerana hendak selamatkan alam sekitar dan Gunung Inas, mereka boleh batalkan tender dan Ladang Hutan TLC, bukan batalkan Ladang Rakyat dan tanam Musang King,” katanya.

Menurut Muhammad Sanusi, kawasan Ladang Hutan asal tidak termasuk dalam Kompartmen Lapan yang menjadi punca bekalan air di Sungai Kupang kerana ia hanya melibatkan kompartmen empat, lima dan enam sahaja.

“Apa-apa pun saya perlu semak dengan Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) terlebih dahulu, termasuk juga tarikh yang tepat tender dan tebangan itu berlaku kerana seingat saya tender sahaja,” katanya. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya