Kecilkan Kabinet, lantik individu cekap tangani isu ekonomi - Utusan Malaysia

Kecilkan Kabinet, lantik individu cekap tangani isu ekonomi

MUHAMAD AKMAL SALEH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob disaran mengecilkan saiz Kabinet dan melantik individu yang benar-benar dapat membantu beliau menangani isu ekonomi ketika ini.

Naib Ketua Pemuda UMNO Melaka, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, Perdana Menteri seharusnya melihat semula struktur Kabinet sedia ada kerana kuasa prerogatif untuk melantik menteri adalah milik beliau.

Jelasnya, memiliki komposisi menteri paling ramai tidak akan memberi faedah kepada negara, malah, hanya menjadi beban kepada Ismail Sabri.

“Ada antara menteri-menteri ini adalah muka (dilantik) daripada zaman kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang kita tahu tidak mempunyai prestasi baik untuk mentadbir sejak dari awal lagi.

“Ketika ekonomi global dalam keadaan tidak berapa baik serta kenaikan harga barang yang begitu mendadak, Perdana Menteri sebenarnya memerlukan barisan Kabinet yang benar-benar cekap dan berkemampuan untuk membantu menghadapi situasi ini.

“Jika perlu memilih dalam kalangan bukan ahli Parlimen pun, tidak mengapa, selagi mana individu itu mampu untuk membantu Perdana Menteri menangani isu ekonomi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu menambah, para menteri dan pembangkang yang tidak bersetuju Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan dalam masa terdekat, seharusnya tidak perlu menarik sokongan terhadap Perdana Menteri.

Katanya, ini berdasarkan alasan yang diberikan bahawa rakyat masih lagi ingin dibantu memandangkan ekonomi masih belum stabil.

“Saya berharap mereka tidak akan menarik sokongan kepada Perdana Menteri jika nama mereka tidak dipilih menjadi menteri kerana yang lebih penting sekarang adalah rakyat.

“Sekiranya ini boleh berlaku, seharusnya PRU15 boleh dianjakkan sehingga ke penghujung tempohnya. Jika tidak, ia (pilihan raya) perlu berlaku sebaliknya,” ujarnya. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya