PUTRAJAYA: Setakat hari ini, Datuk Zuraida Kamaruddin masih kekal sebagai Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi serta masih menjalankan tugas rasmi di kementeriannya itu.
Ini dibuktikan dengan pengesahan kehadiran Ahli Parlimen Ampang itu pada satu program rasmi kementeriannya di Sabah malam ini.
Mengikut jadual rasmi dikongsi Unit Komunikasi Korporat (UKK) kementerian berkenaan, Zuraida akan menghadiri Majlis Anugerah Industri Koko Malaysia (AIKM) 2022 anjuran Lembaga Koko Malaysia (LKM) di The Magellan Sutera Resort, Kota Kinabalu.
Difahamkan, Zuraida berlepas ke Sabah selepas menghadiri mesyuarat Kabinet pagi tadi.
Terdahulu, Zuraida dilihat memasuki Bangunan Perdana Putra dengan menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) mewah pukul 9.25 pagi tadi.
Bagaimanapun, usaha wartawan yang menunggu sejak 9 pagi bagi mendapatkan penjelasan Zuraida mengenai perkara itu gagal apabila kenderaan yang membawa beliau dipercayai keluar menerusi pintu lain selepas menyuarat Kabinet tamat, tengah hari tadi.
Malah, beliau ketika ini difahamkan sudah berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk ke Sabah bagi program rasmi berkenaan.
Sebelum ini, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menuntut supaya kerusi menteri dipegang Zuraida itu diberikan kepada partinya.
Malah, katanya, jawatan menteri itu adalah sebahagian daripada kandungan perjanjian antara Ismail Sabri dengan pimpinan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini.
Pada 26 Mei lalu, Zuraida menerusi kenyataannya mengumumkan keluar daripada Bersatu untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM). -UTUSAN ONLINE