RUU Lompat Parti muktamad - Utusan Malaysia

RUU Lompat Parti muktamad

WAN JUNAIDI TUANKU JAAFAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Draf Rang Undang-Undang (RUU) Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti dimuktamadkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen, kelmarin, dan akan dibentangkan kepada Kabinet sebelum dibawa ke sidang khas Parlimen untuk dibahas dan diluluskan, Jun ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, bagaimanapun tarikh sebenar sidang khas tersebut tertakluk kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, sama ada bersetuju pada tarikh berkenaan.

Menurut beliau, Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Bagi RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 mengenai Peruntukan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti itu mencapai kata sepakat dalam hampir semua perkara dasar mengenai penggubalan RUU itu.

“Ini setelah mengambil masa lebih sembilan bulan bagi merangka undang-undang tersebut yang pertama kali di negara ini.

“Namun selagi belum dibentangkan ke Kabinet, saya dan jawatankuasa lain tidak boleh mendedahkan kepada umum berhubung butiran RUU ini. Cuma saya boleh katakan adalah draf ini telah dimuktamadkan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.

“Setelah berhempas-pulas merangka undang-undang selain melalui pelbagai proses dan perbincangan dengan ramai pihak termasuk mengambil kira pandangan perbahasan ahli-ahli Parlimen, alhamdulillah saya bersyukur draf RUU bagi melarang ahli Dewan Rakyat bertukar parti akhirnya dimuktamadkan dan kini tinggal untuk diluluskan Parlimen,” katanya.

Sepakat

Sebelum ini, Wan Junaidi berkata, Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Bagi RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 mengenai Peruntukan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti itu mencapai kata sepakat dalam hampir semua perkara dasar mengenai penggubalan RUU itu.

Beliau berharap RUU itu akan dibentangkan pada sidang khas Parlimen di bawah Peraturan 11(3) atas budi bicara Perdana Menteri dan pertimbangan jemaah Menteri.

Dalam pada itu, Wan Junaidi berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pemandu Transformasi dan Kestabilan Politik Kerajaan-Pakatan Harapan (PH) dan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Bagi Menimbang RUU tersebut menyarankan agar undang-undang tersebut dibentangkan dalam sidang khas Parlimen yang dicadangkan diadakan pada Jun ini.
“Saya akan berjumpa dengan Perdana Menteri berhubung perkara ini, tetapi terserah kepada Datuk Seri (Ismail Sabri) bagi menetapkan tarikh sebenar sidang khas Parlimen ini,” katanya.

Beliau kemudian merakamkan perhargaan kepada pelbagai pihak termasuk semua ahli Parlimen, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan Peguam Negara yang bertungkus-lumus merangka undang-undang yang selama ini berhadapan banyak cabaran.

“Ramai mahu RUU ini dibuat segera, tetapi ramai tidak tahu bahawa prosesnya memerlukan masa apatah lagi membabitkan pindaan Perlembagaan Persekutuan di samping mengambil kira pandangan orang ramai dan pakar akademik.

“Sepatutnya dibentang pada Mac lalu, tetapi dibuat pada April pula. Tetapi ahli Parlimen sebulat suara agar diperhalusi di peringkat Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen,” katanya.

Pelbagai pihak termasuk ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang mahu RUU itu disegerakan selepas kerajaan memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik bersama PH pada 13 September 2021.
Pada 2 April lalu, Wan Junaidi mendedahkan seramai 39 Ahli Parlimen negara ini melompat parti sejak 2018 dan tindakan itu membawa kepada ketidakstabilan politik, selain negara turut menyaksikan pertukaran tiga Perdana Menteri dalam satu penggal Parlimen.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN