PETALING JAYA : Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) menawarkan diri untuk menjadi penganjur perdebatan antara bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim membabitkan isu bail out syarikat Sapura Energy.
Menurut kenyataan KMUM, tawaran sebagai penganjur debat awam oleh pihaknya juga adalah melihatkan organisasi itu sebagai sebuah entiti neutral dan tidak berpihak mampu memberi keyakinan yang lebih tinggi kepada orang ramai.
Malah KMUM menjelaskan tawaran berkenaan di atas keinsafan peranan mereka sebagai persatuan mahasiswa yang seharusnya merancakkan wacana keilmuan dengan memberi ruang menjadi penganjur bagi perdebatan antara kedua-dua tokoh politik tanah air berkenaan.
“Dengan itu, kami menjemput kedua-dua tokoh Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Najib Razak bersedia menerima pelawaan KMUM supaya menjadi penganjur bagi debat yang bersejarah ini
“Sehubungan itu, untuk sebarang soalan atau maklumat lebih lanjut boleh berhubung terus dengan Presiden Kesatuan KMUM, Wan Afiq Ikhwan di alamat email [email protected],” kata kenyataan itu.
Semalam, Najib menyatakan persetujuan berdebat dengan Anwar mengenai usaha menyelamatkan Sapura Energy selepas Rafizi Ramli yang menawarkan diri bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR, mencabar Ahli Parlimen Pekan itu untuk berdebat berhubung isu syarikat perkhidmatan medan minyak bersepadu Malaysia tersebut. –UTUSAN ONLINE