PETALING JAYA: Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan mengulangi pendirian bahawa lafaz ikrar dan sumpah anti rasuah oleh 56 calon mereka dalam Pilihan Raya Negeri Johor adalah bukti kesediaan parti memerangi jenayah rasuah.
Berkongsi hantaran ringkas di Facebooknya hari ini, janji tersebut antara lain menunjukkan sifat kesetiaan mereka kepada rakyat negeri Johor untuk menegakkan integriti sebagai perjuangan parti.
Ia sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang dijadualkan berlangsung pada 12 Mac ini menyaksikan Bersatu mempertaruhkan 56 calonnya bagi memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Janji antirasuah yang diikrarkan kesemua 56 calon Perikatan Nasional merupakan pembeza yang unik bagi PN.
“Ikrar dan aku janji antirasuah ini adalah amalan Perikatan Nasional yang mendokong prinsip integriti dan menentang rasuah dan tidak ada parti lain yang berbuat seperti kita.
“Kepada rakyat Johor, ini bukti kesediaan kami untuk memerangi rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan. Ini bukti kesetiaan kami kepada perjuangan menegakkan integriti. ‘Demi Maruah Bangsa Johor’,” katanya hari ini.
Wan Saiful berkongsi hantaran itu beserta pautan video ringkas berdurasi satu minit 11 saat memaparkan beliau berucap semasa program Ceramah Umum PRN Johor di DUN Parit Yaani, semalam.
Hantaran itu mendapat 61 tanda suka, 66 komen dan 239 tontonan setakat berita ini ditulis.
Memetik ucapan video tersebut, beliau berkata, apa yang ditawarkan Bersatu adalah tawaran yang tidak mampu diberikan oleh parti-parti lain dalam pilihan raya negeri, termasuk UMNO dan Barisan Nasional (BN) pun tidak berani melakukan tindakan diambil Bersatu. –UTUSAN ONLINE