Najib calon MB Johor ke? - Liew Chin Tong - Utusan Malaysia

Najib calon MB Johor ke? – Liew Chin Tong

Liew Chin Tong
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong menyindir tindakan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang turun berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor seperti seolah-olah beliau adalah ‘poster boy’ dan calon Menteri Besar.

Chin Tong berkata, sekiranya beliau menjadi Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad, dia akan berasa malu dan sakit hati kerana tindakan dibuat Najib yang merupakan Penasihat BN itu dilihat ibarat lebih sudu daripada kuah.

“Tindakan Najib itu (berkempen) seolah-olah dia bertanding dalam PRN Johor, seolah-olah dia adalah calon Menteri Besar Johor jika mereka menang nanti, jika saya jadi Hasni, pasti akan berasa sakit hati.

“Tetapi, benar juga mereka rasa boleh menggunakan populariti bekas Perdana Menteri itu untuk membantu calon BN, adalah lebih baik jika dia turun berkempen setiap hari,” katanya dalam sidang akhbar di Taman Bukit Indah, di sini.

Sementara itu, mengulas dakwaan Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed yang mendakwa beliau ditolak pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perling kerana merupakan seorang calon pengembara, Chin Tong memberitahu itu hanya pandangan peribadi.

Menurutnya, Pakatan Harapan (PH) dan DAP mempunyai perancangan bahawa dia selaku Pengerusi DAP Johor dipindahkan ke kerusi berkenaan adalah untuk mengemudi jentera PH bukan sahaja dalam PRN ini, tetapi setelah berjaya menubuhkan kerajaan negeri kelak.

“Saya hormati hak dia untuk berkata demikian, saya juga hormati hak pengundi untuk memilih, tetapi ada tujuan besar mengapa saya diletakkan untuk bertanding di kerusi DUN ini.

“DUN Perling terletak di tengah-tengah Johor Bahru Selatan, dan ini adalah lokasi strategik untuk memulakan gerak kerja bagi membangunkan negeri ini ke arah lebih maju dan berdaya saing,” jelasnya.

Dalam pada itu, Chin Tong turut memaklumkan PH bakal membentangkan manifesto mereka untuk PRN Johor ini dalam waktu terdekat.

“Manifesto kita ada, dan ianya akan dibentangkan dalam waktu terdekat, beberapa hari lagi, cuma kita tidak panggil ia sebagai manifesto, ada nama lain, kita akan umumkan bila tiba masanya nanti,” ujarnya. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya