Kedutaan Ukraine guna Syeikh Al-Azhar mohon simpati? - Utusan Malaysia

Kedutaan Ukraine guna Syeikh Al-Azhar mohon simpati?

TANGKAP layar yang memaparkan hantaran Syeikh Al-Azhar dikongsi oleh Kedutaan Ukraine di Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mungkin kerana menyedari banyak negara Islam mulai cenderung ke arah Rusia, Kedutaan Ukraine di Kuala Lumpur dilihat terpaksa menukar strategi perang sarafnya.

Terbaru, pejabat diplomatik negara Eropah tersebut memuat naik hantaran daripada Syeikh Al-Azhar, Dr. Ahmed Mohamed Ahmed El-Tayyib bagi menagih simpati masyarakat Islam di Malaysia.

Pentadbir laman sosial kedutaan berkenaan menulis keterangan ayat ringkas bahawa Imam Besar itu turut menyertai seruan keamanan bagi Ukraine dengan tanda pagarnya Stand With Ukraine.

“Saya menggesa masyarakat antarabangsa agar meningkatkan bantuan kepada Ukraine dan menamatkan perang sambil memohon Allah bagi membantu mereka,” kata Ahmed Mohamed.

Meskipun tokoh tertinggi Islam berpangkalan di Kaherah, Mesir itu langsung tidak pun sebut nama Rusia, namun, Kedutaan Ukraine pula meletakkan tanda pagar Stop Russian Aggression.

Tindakan yang boleh dianggap amat terdesak itu susulan kemerosotan sokongan pelbagai negara Islam apabila Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky memohon bantuan dari rejim Israel.

Malah, bekas pelawak yang berusia 44 tahun ini sanggup menghubungi Perdana Menteri negara Zionis itu, Naftali Bennet bagi memujuk Rusia agar menghentikan serangannya.

Tidak cukup dengan usaha tersebut, Zelensky cuba mengeluarkan kenyataan dalam bahasa Hebrew meminta umat Yahudi seluruh dunia bersatu menekan Rusia dalam pelbagai aspek.

Inisiatif diplomatik berkenaan menyebabkan banyak negara Islam mula bertindak menjauhkan diri daripada menyatakan sokongan terbuka kepada Ukraine tetapi bersimpati kepada Rusia.

Disebabkan itu, Kedutaan Ukraine di seluruh dunia difahamkan mula bekerja keras memuat naik rakaman video yang menunjukkan warga Palestin turut menyokong perjuangan Ukraine.

Ini termasuk ucapan dari seorang graduan perubatan salah sebuah universiti di Ukraine, Dr. Muhammad Khair Al-Aman yang meminta umat Islam supaya bersatu menentang Rusia pula.

Beliau mendakwa bahawa ribuan pelajar Palestin menyambung pengajian tinggi di Ukraine, malah, sejak sekian lama, lebih 3,000 ekspatriat warga Ukraine turut menetap di sekitar Palestin.

Dianggarkan terdapat hampir sejuta umat Islam di Ukraine dengan majoritinya dari kalangan etnik Tatar dan sejumlah 160 buah masjid di negara yang berpenduduk lebih 42 juta orang itu.

Situasi itu amat jauh berbeza daripada Rusia yang merekodkan hampir 30 juta umat Islam dengan lebih 8,000 buah masjid di seluruh negara serta dianggap antara paling ramai di Eropah.

Hubungan Rusia dengan banyak negara Islam amat baik, malah, negara itu paling lantang memperjuangkan nasib isu Palestin ditindas rejim Israel yang disokong kuat Amerika Syarikat.

Bahkan, Presiden Rusia, Vladimir Putin ada menjemput Presiden Palestin, Mahmoud Abbas merasmikan masjid terbesar di ibu kota Moscow dengan kapasiti 10,000 jemaah pada 2015. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya