JOHOR BAHRU: DAP dijangka mengumumkan calon pertama mereka yang akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paloh esok, sekali gus menjadi calon pertama yang diumumkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Berdasarkan maklumat yang diterima Utusan Malaysia, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng akan turun ke Daerah Kluang pada petang esok bagi proses pengumuman itu disamping pelancaran Bilik Gerakan Pilihanraya N30 bagi kawasan terbabit.
Majlis tersebut difahamkan akan diadakan pada sebelah petang di Pejabat Pakatan Harapan (PH) DUN Paloh di Jalan Abu Bakar, dekat sini.
Kini, timbul tanda tanya siapa calon yang akan ditampilkan DAP kali ini di kerusi tersebut selepas terdapat spekulasi penyandangnya, Sheikh Umar Bagharib Ali mungkin bertukar ke kerusi lain.
Apatah lagi Naib Pengerusi DAP Johor itu hanya meraih 783 majoriti undi mengatasi pencabarnya dari Barisan Nasional (BN), Teoh Yap Kun pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
Sheikh Umar mendapat 8,958 undi, manakala Yap Kun pula 8,175 undi sementara seorang calon bebas, M. Shamugam yang menggunakan simbol gajah telah hilang wang deposit apabila hanya memperoleh 61 undi.
Jika mengikut perkiraan politik, kemenangan di bawah majoriti 1,000 undi dianggap tidak selamat bagi seseorang penyandang sama seperti yang dialami Yap Kun pada PRU-13 apabila beliau hanya menang dengan majoriti 103 undi.
Ramai penganalisis berpendapat, perjalanan DAP di kerusi DUN Paloh dilihat tidak berdepan laluan mudah meskipun jika mereka kekal membariskan calon Melayu dalam PRN Johor kali ini berbanding 13 lagi kerusi yang mencatatkan kemenangan besar.
Sementara itu, Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan ketika dihubungi mengesahkan proses pengumuman calon DUN Paloh berkenaan, namun, enggan mengulas lanjut termasuk siapa calon yang akan dipertaruhkan.
“Ya, Guan Eng dijangka turun ke sana jika tiada apa-apa perubahan, soal calon kita kena tunggu sehingga pengumuman dibuat esok baru tahu siapa yang ditampilkan.
“Buat masa ini saya tak boleh kata muka baharu ke atau penyandangnya yang akan terus bertanding di Paloh. Kita sama-sama tunggu,” katanya. -UTUSAN ONLINE