KUALA LUMPUR : Tidak timbul isu kerajaan akan menjadi lebih stabil sekiranya UMNO tidak lagi menjadi kerajaan.
Perkara itu ditegaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan berkata, kerajaan hari ini adalah kerajaan UMNO dan beliau mendapat sokongan daripada semua pihak termasuk parti lain bagi memikul tugas sebagai Perdana Menteri daripada UMNO.
“Kita telah pun menunjukkan kerajaan yang stabil kerana pertama kali dalam sejarah, MOU (pemeteraian memorandum persefahaman) ditandatangani antara kerajaan dengan pembangkang yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
“Ini telah memastikan negara dalam keadaan stabil, jadi, tidak timbul isu apa yang disebut oleh Menteri Kedah,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri majlis Tahun Baharu Cina, semalam.
Terdahulu, Menteri Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dilaporkan berkata, Malaysia akan mendapat kestabilan politik sekiranya UMNO tidak lagi memerintah.
Beliau juga mendakwa kerajaan Kedah adalah kerajaan paling stabil di Malaysia kerana UMNO mempunyai jumlah kerusi yang paling sedikit.
Dalam masa yang sama, Ismail Sabri turut menegaskan, kestabilan politik negara juga dibuktikan dengan termeterainya memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan dengan pembangkang.
“Ia tidak pernah berlaku sebelum ini, ia semua bagi memastikan politik negara dalam keadaan stabil, jadi tiada isu seperti yang dikatakan oleh MB (Muhammad Sanusi) itu,” katanya lagi. –UTUSAN ONLINE