PETALING JAYA: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan usaha Malaysia menyelamatkan seorang warganegara Singapura daripada terkandas di Ukraine dibuat atas dasar persahabatan dan hubungan diplomatik antara dua negara.
Justeru, Perdana Menteri menghargai ucapan Suruhanjaya Tinggi Singapura di Kuala Lumpur yang berterima kasih di atas bantuan yang dihulurkan.
“Atas dasar persahabatan dan diplomatik, kita membantu membawa keluar seorang warganegara Singapura bersama-sama rombongan rakyat Malaysia ke Poland.
“Saya menghargai ucapan penghargaan dari Suruhanjaya Tinggi Singapura di Kuala Lumpur. Kerajaan Malaysia juga sentiasa meraikan keakraban kedua-dua negara.
“Kita tempuhi bersama sebagai satu keluarga dan bekerja bersama sebagai satu keluarga ASEAN,” katanya menerusi akaun Facebook miliknya.
Beliau turut memaklumkan bahawa konvoi Malaysia dari Ukraine sedang dalam perjalanan pulang ke tanah air.
“Alhamdulillah, sembilan rakyat Malaysia bersama dua tanggungan mereka telah pun selamat di bawa keluar dari Kyiv, Ukraine dan dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur, dijangka tiba esok,” katanya.
Semalam, Wisma Putra mengesahkan bahawa Kedutaan Malaysia di Kyiv berjaya melaksanakan misi memindahkan warganegara Malaysia dari Ukraine.
Misi itu dilaksanakan dua pegawai kedutaan iaitu Kuasa Usaha Sementara, Fadhilah Daud dan Setiausaha Kedua, Aminuddin Osman.
Selain daripada dua pegawai kedutaan tersebut, misi itu turut melibatkan tujuh warganegara dan dua warga asing tanggungan kepada dua warganegara Malaysia.
Kumpulan itu merupakan kumpulan terakhir yang dibawa keluar dari Ukraine dan turut membantu membawa keluar seorang warganegara Singapura.
Mereka meninggalkan Kyiv melalui jalan darat pada petang 25 Februari dan memasuki Poland pada malam 26 Februari 2022 dan ketibaan mereka di sempadan Poland dibantu dua pegawai Kedutaan Besar Malaysia di Warsaw.
Kumpulan tersebut dijadual berlepas dari Warsaw ke Malaysia pada 28 Februari dengan penerbangan komersial.
Sebelum ini, 13 warganegara Malaysia telah meninggalkan Ukraine selepas diberi tempoh antara 14 hingga 24 Februari atas nasihat kedutaan. –UTUSAN ONLINE