fbpx

23 Mei 2022, 3:59 pm

  TERKINI

UMNO tidak lagi bersama Pas di Kelantan

AHMAD Jazlan Yaakub bersama pimpinan UMNO Kelantan dalam sidang akhbar di Kota Bharu. - UTUSAN/ROSLIZA MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: UMNO Kelantan membuat keputusan untuk membawa hala tuju sendiri dan tidak lagi bekerjasama dengan Pas menerusi Muafakat Nasional (MN) di negeri ini berkuat kuasa hari ini.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, perkara itu diputuskan selepas pertemuan pihaknya dengan Pas Kelantan di kediaman rasmi Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob petang ini.

Kata beliau, pimpinan UMNO Kelantan sepakat membuat keputusan itu, susulan pendirian Pas yang masih mahu menjalinkan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15.

“Keputusan muktamad ialah untuk tidak lagi bersama Pas. Ia dibuat dengan penuh rasa sedih kerana kita akhirnya akan mengharungi jalan berliku secara solo,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat UMNO Kelantan di sini hari ini.

Ahmad Jazlan berkata, pihak Pas Kelantan meminta UMNO menangguhkan perkara itu, namun, beliau selaku pemimpin UMNO negeri sedia mengambil risiko dengan memuktamadkan keputusan memandangkan konflik sudah berlarutan terlalu lama.

Ahli Parlimen Machang itu bagaimanapun menegaskan, UMNO Kelantan tetap menyokong Kerajaan Negeri Kelantan di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob serta sokongan tidak berbelah bahagi kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub.

“Biarlah kerajaan negeri mengurus tadbir negeri tanpa.ada tekanan. Dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), jika ada usul atau pindaan-pindaan yang hendak dibawa, mungkin akan ada perbahasan.

“Tetapi akhirnya saya yakin ketujuh-tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Barisan Nasional (BN) akan memberi sokongan kepada Menteri Besar dan juga kerajaan Pas Kelantan,” katanya.

Serentak dengan keputusan hari ini, Ahmad Jazlan juga berkata, dalam PRU-15 akan datang, BN melalui UMNO akan bertanding di semua 45 kerusi DUN dan 14 kerusi Parlimen di seluruh Kelantan. -UTUSAN ONLIN

POPULAR

KOSMO! TERKINI