Tiada masalah PKR guna logo sendiri - Mat Sabu - Utusan Malaysia

Tiada masalah PKR guna logo sendiri – Mat Sabu

MOHAMAD SABU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Keputusan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) yang membenarkan PKR menggunakan logo sendiri dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dilihat tidak akan menjejaskan peluang gabungan itu untuk mencatatkan kemenangan.

Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu berkata, keputusan itu juga tidak akan mengelirukan pengundi dalam mereka membuat keputusan penting untuk masa depan rakyat Johor.

Jelas beliau, hal itu kerana logo PKR dan juga logo PH sudah sinonim kepada rakyat negeri dan negara ini.

“Tidak ada masalah (pengundi keliru) kerana dahulu sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) 2018, parti-parti pembangkang memang memakai logo mereka masing-masing.

“Walaupun tidak berjaya memenangi pilihan raya (ketika menggunakan logo parti masing-masing) tetapi kita tetap mencatat peratusan undi popular yang tinggi iaitu sehingga 46 peratus. Jadi bagi saya tiada masalah PKR menggunakan logo mereka sendiri dalam mewakili PH di kawasan ditandingi calon mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar yang diadakan di Permas Jaya, di sini hari ini. Turut hadir, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim dan Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan.

Tambah Mohamad, PRN Sarawak boleh menjadi contoh dimana pengundi tiada masalah dan tidak keliru untuk memilih Gabungan Parti Sarawak (GPS) walaupun mereka baru pertama kali menggunakan logo baharu ketika itu.

“Jika simbol logo GPS yang masih baharu pun pengundi boleh kenal dan tidak keliru, apatah lagi logo PKR yang sememangnya sudah dikenali ramai pihak,” jelasnya.

Sementara itu, Hassan pula memberitahu, walaupun PKR bakal bertanding menggunakan logo sendiri di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) ditandingi mereka, tetapi logo PH akan turut dikibar bersama.

“Pimpinan PH di peringkat pusat telah membuat keputusan bijak untuk menghormati kehendak pengundi di peringkat akar umbi yang mahukan logo Keadilan diguna pakai dalam PRN Johor ini.

“Itu satu keputusan baik dan hanya merupakan satu aspek sahaja, sebaliknya apa yang lebih utama adalah kerjasama antara kesemua parti komponen dan kita akan pastikan semua parti bergerak secara bersama-sama,” jelasnya.

Semalam, Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan memberitahu PKR bakal menggunakan logo sendiri dalam PRN Johor manakala Amanah dan DAP akan kekal menggunakan logo PH. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya