LUMUT: Barisan Nasional (BN) akan menggunakan kreativiti ketika berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sekiranya kerajaan mengekalkan larangan kempen bersemuka sebagaimana pada PRN Melaka.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir, berkata, parti itu akan mematuhi apa sahaja larangan dan peraturan yang ditetapkan khususnya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Kementerian Kesihatan (KKM) pada PRN tersebut.
“Pendirian BN ialah kita tidak mahu melangkaui atau mengingkari arahan yang akan dibuat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri pelancaran penerbangan rasmi SKS Airways Sdn Bhd di Lapangan Terbang Pangkor di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) semalam yang menggesa SPR membenarkan kegiatan kempen bersemuka dan ceramah dibenarkan dalam PRN Johor.
Kenyataan itu menyebut, ia kerana keadaan wabak Covid-19 di Malaysia sudah semakin stabil, justeru kegiatan seperti kempen bersemuka secara selamat patut dibenarkan.
Menurut Zambry, BN telah membuktikan kreativitinya dalam meraih undi pada PRN Melaka apabila cara dan kaedah tradisi parti itu berkempen iaitu pergi dari rumah ke rumah tidak dibenarkan.
Jelasnya, walaupun BN berada di pihak kerajaan, larangan ceramah dan kempen bersemuka sebenarnya juga tidak memberi kelebihan kepada parti itu.
Sebaliknya, menurut beliau, bagaimana sesebuah parti itu menggunakan kreativiti untuk meraih undi dan mendapatkan sokongan itu yang lebih penting.
“Ia bukan soal memberi kelebihan kepada sesiapa pun kerana apabila sebarang peraturan diperkenalkan, ia bukan dikenakan kepada satu-satu tetapi dikuatkuasakan kepada semua pihak terlibat.
Jadi, kita menghormati apa yang telah pun (dan akan) diarahkan oleh pihak berkuasa supaya masalah jangkitan Covid-19 dan sebagainya tidak akan tersebar dengan lebih luas, jadi ianya bergantung kepada pihak kerajaan untuk memutuskannya dan BN akan mematuhinya,” jelas beliau lagi. – UTUSAN ONLINE









