Pejuang Johor pastikan calon tidak cuai ketika hari penamaan - Utusan Malaysia

Pejuang Johor pastikan calon tidak cuai ketika hari penamaan

NORNEKMAN OSMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Johor akan memastikan calon-calonnya yang dipilih untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ini tidak melakukan kecuaian yang boleh menjejaskan kempen parti, khususnya ketika hari proses penamaan calon.

Timbalan Ketua Negeri Pejuang Johor, Nornekman Osman berkata, sebagai langkah persediaan Biro Peguam parti itu akan memberi latihan kepada semua pihak terlibat dalam kempen.

Menurut beliau, antara yang diberi tumpuan termasuklah calon bertanding dan juga pergerakan jentera sepanjang kempen mereka dalam PRN Johor kelak.

“Setiap kali pilihan raya, kita akan dengar berita-berita kecuaian seperti calon salah mengisi borang, calon tertinggal kad pengenalan, mempunyai rekod jenayah, memilki dua warganegara serta calon muflis.

“Kita akan pastikan tiada kesilapan-kesilapan dan kecuaian melibatkan soal teknikal seperti ini berlaku, khususnya pada hari-hari penting seperti penamaan calon,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di pejabat Pejuang Johor, di sini hari ini. Turut hadir, Bendahari Pejuang Johor, Datuk Abdul Aziz Harun.

Tambah Nornekman lagi, keputusan untuk Pejuang Johor bertanding secara solo dalam PRN ini dibuat kerana pihaknya yakin mampu memenangi kesemua 42 kerusi DUN yang ditandingi mereka.

“Benar kami sasarkan untuk bertanding secara solo dengan meletakkan calon di 42 DUN yang mana masyarakat Melayu adalah majoriti di kawasan berkenaan.

“Keputusan bertanding solo ini dibuat kerana kami tahu kami mampu menang sekaligus menubuhkan kerajaan negeri dengan satu parti tunggal, iaitu Pejuang,” ujarnya.

Nornekman turut memberitahu, walaupun senarai nama calon masih belum dimuktamad, tetapi pihaknya telah menyenaraikan individu berkelayakan dengan pelbagai latar belakang berbeza.

“Selain daripada individu yang mahir selok belok politik tanah air, calon-calon kita juga terdiri daripada golongan profesional seperti peguam, doktor, arkitek, selain ahli perniagaan, individu daripada pertubuhan bukan kerajaan dan juga pelbagai profesion lain.

“Calon-calon ini akan dibantu jentera yang terlatih yang telah dipersiapkan dalam menghadapi kempen sepanjang PRN ini,” ujarnya sambil memaklumkan setakat ini Pejuang Johor mempunyai seramai 6,000 keahlian berdaftar. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya