Pejuang i-Citra penghasut rakyat, ini menteri dari planet mana? - Puad Zarkashi - Utusan Malaysia

Pejuang i-Citra penghasut rakyat, ini menteri dari planet mana? – Puad Zarkashi

MOHD. PUAD ZARKASHI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Puad Zarkashi berang dengan kenyataan Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berhubung pengeluaran tambahan RM10,000 melalui i-Citra Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Beliau menyifatkan Tengku Zafrul sebagai menteri kayangan kerana menganggap menteri itu tidak peka dengan situasi rakyat ketika ini.

“Menteri Kewangan kata, mereka yang memperjuangkan pengeluaran one off RM 10,000 i-Citra KWSP adalah penghasut rakyat.

“Ini menteri dari planet mana? Dapat menteri kluster kayangan macam ini boleh meninggal Malaysia dibuatnya,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Dua hari lepas, Tengku Zafrul menyifatkan pihak yang menggesa supaya kerajaan membenarkan sekali lagi pengeluaran simpanan KWSP seperti i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra adalah penghasut rakyat.

“Hari ini, ada beberapa pihak yang lantang melobi untuk dibenarkan sekali lagi pengeluaran simpanan KWSP. Perlu saya ulangi, idea ini pertama sekali ‘dibuahkan’ oleh kerajaan setelah membuat pertimbangan dan perkiraan rapi terlebih dahulu.

“Suara-suara yang hari ini sibuk menghasut rakyat tidak terlibat sama sekali dalam perhitungan dan keputusan tersebut. Mereka mengambil kesempatan mengeksploitasikan perkara ini sebagai modal untuk menyelar pihak KWSP dan kerajaan,” katanya.

Sebaliknya, beliau menganggap pengeluaran KWSP hanya akan memberikan kesan negatif kepada hampir 50 peratus atau lebih enam juta pencarum yang mempunyai baki caruman kurang daripada RM10,000.

“Menurut KWSP, pesara sepatutnya mempunyai sekurang-kurangnya RM240,000 semasa bersara. Jika mereka dijangka bersara selama 20 tahun, mereka hanya ada RM1,000 sebulan untuk sara hidup dan jika sakit, ubat-ubatan.

“Cuba bayangkan jika mereka ada kurang daripada RM10,000 sekarang. Dijangka hampir tujuh juta ahli akan mempunyai simpanan di bawah RM10,000 jika pengeluaran tambahan i-Citra dibenarkan.

“Jika mereka dapat gandakan 10 kali pun sehingga RM100,000 semasa bersara (satu gandaan yang amat sukar untuk dicapai), mereka hanya ada RM500 untuk berbelanja. Lebih tragis lagi bagi hampir 4 juta pencarum yang mempunyai simpanan di bawah RM1,000,” katanya.

Malah, katanya, sekiranya pengeluaran ini dibenarkan lagi, KWSP akan terpaksa menjual pegangan saham dan bon mereka di luar dan dalam negara secara besar-besaran dalam keadaan pasaran yang tidak menentu; memberhentikan pelaburan di dalam negara untuk tempoh tiga hingga enam bulan dan mengurangkan penyertaan dalam pasaran domestik buat sementara waktu.

“Dalam keadaan ekonomi yang semakin pulih, kerajaan tetap akan membantu rakyat melalui strategi yang pelbagai dan berbeza. Kerajaan sentiasa memantau keadaan, dan akan menambahbaik segala bentuk bantuan jika perlu.

“Namun dalam hal KWSP ini, kita tidak boleh terus populis dengan sekali lagi mencari jalan mudah membenarkan pengeluaran tambahan lebih-lebih lagi bila kerajaan sudah menyediakan satu pakej bantuan banjir yang paling tinggi dalam sejarah.

“Fikirkanlah kesan jangka panjang terutamanya kepada anak-anak dan cucu-cucu kita yang bakal mewarisi beban menampung kehidupan warga tua negara yang tidak mampu menampung persaraan mereka sendiri,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya