Pakatan Harapan bertanding PRN Johor - Utusan Malaysia

Pakatan Harapan bertanding PRN Johor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Pakatan Harapan (PH) memutuskan untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor walaupun berpandangan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah satu tindakan diatur khusus untuk mendesak Perdana Menteri membubarkan Parlimen dan melaksana Pilihan Raya Umum ke-15 segera.

Majlis Presiden PH dalam kenyataan memaklumkan, oleh itu isu-isu persiapan termasuk agihan kerusi, pelancaran jentera pilihan raya, penamaan calon Menteri Besar serta sebarang kerjasama atau persefahaman politik dengan parti pembangkang lain akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.

Kenyataan itu menegaskan bahawa PH bertekad merangkul seluruh kekuatan pembangkang dan masyarakat sivil dalam usaha memenangi PRN Johor bukan sahaja memenangi semula mandat rakyat diperoleh pada Pilihan Raya Umum Ke-14 tetapi dengan membentuk kerajaan negeri lebih stabil demi masa depan Johor lebih baik.

“Majlis Presiden PH berpandangan pembubaran Dewan Undangan Negeri Johor ini adalah satu tindakan yang diatur khusus untuk mendesak Perdana Menteri membubarkan Parlimen dan melaksana Pilihan Raya Umum ke-15 segera. 

“Ia pada ketika rakyat terutama di Johor masih terbelenggu dengan isu ekonomi, wabak Covid-19, dan banjir, PRN Johor akan amat membebankan rakyat,” kata kenyataan itu hari ini.

Justeru itu, PH mengesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi memperbetulkan prosedur operasi standard (SOP) kempen PRN Johor bagi membolehkan aktiviti seperti ceramah serta kempen bersemuka diadakan dengan selamat.

Kata PH, hal ini kerana memandangkan wabak Covid-19 di Malaysia sudah semakin bersifat endemik dengan jumlah kes positif serta jumlah kemasukan ke hospital yang agak stabil, dan jumlah penerima dos kedua mencecah 80 peratus dan dos penggalak lebih 30 peratus.

“Soal itu termasuklah membenarkan ceramah dan aktiviti-aktiviti kempen bersemuka seperti pemberian bahan cetak rumah-ke-rumah dibenarkan dengan pematuhan ketat SOP.

“Akses media diberi kepada semua parti secara adil dari segi ruangan masa (air time) dan ruangan cetak (akhbar, media online).

“SPR perlu digerakkan dengan aktif untuk berada di kedutaan-kedutaan Malaysia di Singapura, United Kingdom, Amerika Syarikat, Australia serta negara-negara lain untuk memastikan undi pos dapat dilaksanakan dengan baik dan tempoh kempen sekurang-kurangnya 21 hari,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya