PETALING JAYA: Kerajaan digesa mengadakan perbincangan khas pada esok semasa mesyuarat Kabinet mengenai kedudukan Malaysia yang tercorot dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2021.
Setiap pagi Rabu, Perdana Menteri secara lazimnya akan menghadap Yang di-pertuan Agong sebelum mempengerusikan mesyuarat Kabinet, kecuali jika berlangsung persidangan Dewan Rakyat.
Penasihat DAP Kebangsaan, Lim Kit Siang berkata, rakyat negara ini menantikan kenyataan daripada kerajaan punca Malaysia berdepan satu lagi krisis keyakinan yang menyaksikan Malaysia jatuh dua kali berturut-turut sejak 2020.
Kata ahli Parlimen Iskandar itu, prestasi negara tidak mengambil kira skandal melibatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki kerana ia merupakan isu terlalu baharu dijadikan input dalam penilaian TI-Malaysia untuk indeks persepsi berkenaan.
“Skor dan kedudukan Malaysia akan menjadi lebih rendah jika skandal Azam dimasukkan sepenuhnya ke dalam laporan TI CPI 2021.
“Di negara lain, ketua pesuruhjayanya akan meletakkan jawatannya selepas laporan TI CPI 2021 yang begitu teruk dikeluarkan tetapi perkara ini tidak berlaku di Malaysia.
“Selama hampir sebulan, Malaysia dilanda kelumpuhan kerajaan dan parlimen akibat skandal Azam, yang juga ketua pegawai anti-rasuah negara itu gagal menjadi contoh integriti, kejujuran dan akauntabiliti berhubung dakwaan pegangan saham.
“Adakah laporan TI CPI 2021 akan menjadi agenda utama Jemaah Menteri esok, bersama-sama tindakan berdendam Persatuan Badminton Malaysia (BAM) terhadap bintang badminton negara Lee Zii Jia dan Goh Jin Wei yang menunggu penyelesaian menang-menang oleh Kabinet?,” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.
Tengahari tadi, Presiden TI-Malaysia, Dr. Muhammad Mohan mendedahkan, kedudukan Malaysia terus merosot iaitu di tangga 62 daripada keseluruhan 180 negara dalamCPI 2021, menyaksikan kedudukan negara terus jatuh berbanding di tangga 57 pada tahun 2020.
Katanya, ia salah satu berpunca akibat tindakan sangat terhad daripada kerajaan sedia ada dan sebelum ini dalam membendung aktif rasuah politik dan mengukuhkan hak asasi manusia di Malaysia serta penggantungan Parlimen dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mungkin menjadi punca kemerosotan kedudukan negara dalam indeks tersebut. -UTUSAN ONLINE