Habis modal tuduh UMNO kemaruk kuasa - Utusan Malaysia

Habis modal tuduh UMNO kemaruk kuasa

SHAMSUL ANUAR NASARAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tuduhan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor terdesak diadakan kerana ingin melarikan diri daripada dipenjara dan kemaruk adalah satu kenyataan tidak berasas dan kehabisan modal.

Pengarah Komunikasi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, kenyataan sengaja ditimbulkan itu tiada lain hanya dengan niat untuk menimbulkan kemarahan rakyat kepada UMNO dan BN ekoran pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.

Katanya, DUN Johor dibubarkan atas perkenan Sultan Johor setelah dipersembahkan oleh Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad selaras dengan Undang-Undang Negeri Johor.

“Pasti keputusan dibuat setelah mengambil kira pelbagai perkara, namun jika kerana itu memberikan gambaran kononnya DUN Johor dibubar atas desakan Kluster Mahkamah adalah sangat tidak wajar.

“UMNO dan BN adalah parti yang utamakan kepentingan rakyat. Kita tidak membuat keputusan atas kepentingan individu. Rakyat Negeri Johor memerlukan sebuah kerajaan yang stabil dan kuat.

“Membubarkan DUN Johor yang akhirnya membawa kepada PRN Johor adalah gambaran tanggungjawab UMNO dan BN menyerahkan kembali kuasa memilih kepada rakyat agar dapat menentukan kerajaan benar-benar memimpin di atas mandat sebenar daripada rakyat, yakni kerajaan yang rakyat inginkan,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan yang dilaporkan berkata, PRN Johor diadakan atas usaha Kluster Mahkamah dan para pendukung mahu mengalih perhatian daripada kes sedang dihadapi mereka.

Shamsul Anuar menegaskan, hujah Wan Saiful bahawa politik Johor stabil adalah pandangan singkat beliau sedangkan kedudukan kerajaan negeri kini sangat rapuh.

“Realitinya apabila kematian ADUN Kempas, Datuk Osman Sapian pada Disember lalu, kedudukan Kerajaan BN dan PN Johor sangat rapuh. Daripada 56 kerusim untuk mendapat majoriti mudah ialah 29 kerusi.

“Sebaliknya Hari ini (sebelum dibubarkan) kerajaan Johor ada 28 kerusi (BN dan PN) manakala PH memiliki 27 kerusi,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN