PETALING JAYA: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mempersoalkan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang disifatkannya sebagai balas dendam sekiranya ahli Parlimen Pembangkang membangkitkan kes Ketua Pesuruhjaya agensi itu, Tan Sri Azam Baki dalam sidang Dewan Rakyat.
“Selepas Ahli Parlimen Sungai Buloh, R Sivarasa membangkitkan isu pemilikan saham Azam di Dewan Rakyat, pengurus pusat khidmat yang juga anak saudaranya telah dipanggil SPRM dan akan didakwa atas kesalahan berkaitan insiden berlaku pada tahun 2017.
“Adakah semua Ahli Parlimen Pembangkang yang membangkitkan kes Azam Baki di Dewan Rakyat akan menerima tindakan ‘balas dendam’ seperti ini juga?.
“Azam yang kantoi berbohong dengan mendakwa adiknya menggunakan akaun secara proksi sedangkan beliau mengendali akaun dagangan sahamnya sendiri, masih bebas dan tidak disiasat,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Bagaimanapun, ahli Parlimen Bagan itu berkata, SPRM tersilap jika agensi itu merasakan ahli Parlimen pembangkang akan tunduk dan berundur daripada mencari kebenaran disebalik pemilikan misteri saham oleh Azam.
Katanya, ini kerana ahli Parlimen pembangkang tidak akan berhenti, tetapi terus berusaha untuk mencari kebenaran.
“SPRM perlu berhenti melakukan tindakan tidak berasas yang tidak bertanggungjawab dan tidak beretika terhadap ahli Parlimen Pembangkang yang hanya menjalankan tugas mereka untuk mendedahkan salah laku serta rasuah,” katanya.
Terdahulu, Naveen Kularasa, 50, yang merupakan anak saudara kepada Sivarasa dan seorang pemandu van, Nico Kam didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas tiga pertuduhan rasuah berhubung kemasukan pekerja asing, lima tahun lalu.
Bagaimanapun, kedua-duanya mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.
Mengikut pertuduhan pertama, mereka didakwa bersama-sama secara rasuah meminta wang tunai RM55,000 bagi diri mereka daripada Mono Miah Siddikur Rahman yang merupakan lelaki warga Bangladesh.
Ia sebagai dorongan kononnya untuk tidak melaporkan kepada pihak Imigresen berkaitan Syarikat Dyna Maintainance Services Sdn. Bhd. milik individu itu yang dikatakan telah membawa masuk pekerja asing dengan menggunakan kelayakan profesional untuk kerja-kerja buruh.
Pertuduhan kedua dan ketiga, Naveen dan Nico didakwa dengan niat bersama-sama iaitu secara rasuah bersetuju menerima wang tunai RM45,000 dan RM20,000 bagi diri mereka daripada pemilik syarikat sama melalui tertuduh kedua (Nico) berhubung perkara sama.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di dua buah restoran di Cheras dan sekitar Kuala Lumpur antara 17 hingga 21 September 2017.
Bagi kedua-dua pertuduhan itu, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama. – UTUSAN ONLINE










