Akar umbi UMNO masih berharap kerjasama MN dalam PRN Johor - Utusan Malaysia

Akar umbi UMNO masih berharap kerjasama MN dalam PRN Johor

Onn Hafiz Ghazi
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kepimpinan UMNO di peringkat akar umbi masih berharap penyatuan masyarakat Melayu antara UMNO dan Pas melalui kerjasama Muafakat Nasional (MN) dapat dilaksanakan.

Naib Ketua UMNO Bahagian Simpang Renggam, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pihaknya juga berharap perbincangan antara kepemimpinan negeri kedua-dua parti berjalan lancar.

“Saya berdoa agar perbincangan antara Datuk Ir. Hasni Mohammad dan Tuan Haji Abdullah Husin berjalan dengan baik dan lancar.

“Sama-samalah kita berdoa agar mereka dapat menjumpai titik pertemuan dan persefahaman yang akhirnya akan membuahkan hasil yang terbaik kepada rakyat Johor,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Dalam kenyataan sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Belia dan Sukan Johor itu turut memuat naik firman Allah dalam surah Ali Imran, ayat 103.

“Dan berpegang teguhlah kamu semuanya pada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa jahiliah) bermusuhan, lalu Allah mempersatukan hatimu, sehingga dengan kurnia-Nya kamu menjadi bersaudara, sedangkan (ketika itu) kamu berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu dari sana.

“Demikianlah, Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu agar kamu mendapat petunjuk,” tambah kenyataan itu.

Pengerusi UMNO Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad sebelum ini dilaporkan berkata, pihaknya berhasrat untuk Barisan Nasional (BN) bertanding secara solo dalam PRN Johor, tetapi akan tetap akur dengan keputusan pucuk pimpinan parti di peringkat pusat.

Sementara itu, semalam, Abdullah pula dilaporkan berkata, pertemuan antara kedua-dua pihak yang dijadual berlangsung semalam telah ditangguhkan manakala tarikh baharu masih belum ditetapkan.

“Sepatutnya pertemuan itu berlangsung hari ini, tetapi kita ditahan ia ditangguhkan terlebih dahulu, mungkin kerana Pengerusi UMNO Johor (Hasni) sedang sibuk.

“Bagaimanapun, kita akan menunggu tarikh baharu untuk pertemuan itu diadakan, harapnya dalam tempoh beberapa hari ini dan bukan terus dilupakan,” katanya.

Pada 22 Januari lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran DUN Johor selepas menerima mengadap Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad.

Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam satu kenyataan memberitahu pihaknya akan bermesyuarat berkenaan PRN Johor pada 9 Februari depan bagi membincangkan tarikh-tarikh penting berkenaan PRN Johor. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN