JOHOR BAHRU: UMNO Johor mengambil pendekatan dengan memberi tumpuan kepada pengukuhan parti dan gabungan Barisan Nasional (BN) terlebih dahulu sebelum memikirkan soal kerjasama dengan pihak lain termasuk berkaitan Muafakat Nasional (MN).
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, hal itu lebih utama kerana sebarang jalinan kerjasama sepatutnya bersandarkan kepada kekukuhan parti itu sendiri.
“Kita tahu MN adalah satu persefahaman yang dibuat atas persetujuan kedua-dua pihak di mana satu piagam telah ditandatangani antara UMNO dan Pas.
“Namun, pada saya, apa yang penting sekarang adalah UMNO dan BN itu sendiri perlu diperkuatkan dengan mengatasi segala masalah yang boleh gugat kekuatan,” katanya ketika diminta mengulas pendirian UMNO Johor dalam soal kerjasama MN bersama Pas.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pelancaran Kebun Bandar di Taman Impian Emas, di sini hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Ayub Jamil.
Dalam pada itu, Hasni yang juga Pengerusi BN Johor berkata, pihaknya tidak menolak untuk menjalinkan sebarang kerjasama dengan mana-mana parti politik menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
“Perkara itu tertakluk kepada kekuatan UMNO dan BN itu sendiri. Di Johor, kita dapat lihat UMNO dan BN buat program sendiri, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) juga buat program sendiri, jadi, saya rasa itu satu suasana amat sihat di mana masing-masing jaga parti sendiri,” ujarnya.
Terdahulu, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, parti itu tidak pernah memungkiri piagam tersebut seperti didakwa Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Mohamad dilaporkan berkata, dakwaan itu tidak tepat kerana penubuhan MN bukanlah dengan matlamat Bersatu menjadi sebahagian daripadanya, sebaliknya MN adalah untuk menentang Pakatan Harapan (PH) yang mana Bersatu pada ketika itu adalah sebahagian daripada gabungan tersebut. -UTUSAN ONLINE