17,885 mengundi secara pos di PRN Sarawak - SPR - Utusan Malaysia

17,885 mengundi secara pos di PRN Sarawak – SPR

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) telah mengeluarkan sebanyak 17,885 kertas undi pos kepada yang berhak untuk mengundi secara pos dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak kali ini.

Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, pengeluaran kertas undi pos diadakan pada 8 hingga 10 Disember 2021 oleh petugas pilihan raya di semua 82 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Katanya, kesemua 17,885 kertas undi pos tersebut terdiri daripada 16,728 kategori Borang 1A melibatkan petugas pilihan raya, ahli atau pegawai SPR, anggota polis, anggota tentera, dan petugas media.

“365 undi pos lagi bagi kategori Borang 1B iaitu warganegara Malaysia yang berada di luar negara, 679 kategori Borang 1C iaitu sembilan agensi dalam sektor keselamatan dan kesihatan dan 113 pengundi tidak hadir luar negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya lagi, proses pengeluaran kertas undi pos ini dijalankan dengan kehadiran wakil calon daripada semua parti atau individu yang bertanding.

“SPR mengingatkan kepada semua pengundi pos supaya membuat penandaan pada kertas undi, mengisi dengan lengkap dan betul borang pengisytiharan identiti (Borang 2) serta segera mengembalikannya kepada pegawai pengurus DUN berkenaan sebelum jam 5 petang pada hari mengundi iaitu pada 18 Disember 2021.

“Pengundi juga diingatkan agar sentiasa menjaga kerahsiaan undi masing-masing dengan tidak merakam gambar kertas undi pos dan menularkannya di laman media sosial,” katanya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya