MELAKA: Pakatan Harapan (PH) meminta media memberikan liputan yang seimbang pada kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) termasuk memberi ruang kepada calon parti itu dalam menyampaikan maklumat kepada rakyat, khususnya mengenai pelan tindakan yang ingin dilaksana.
Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari berkata, ia berikutan cabaran yang terpaksa dihadapi semua parti dan jentera untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka berlangsung.
Katanya, bagaimanapun, tempoh berkempen selama 12 hari perlu dimanfaatkan sepenuhnya terutama dalam mendekati rakyat dan menyampaikan maklumat, terutama mengenai hala tuju parti sebelum undian dibuat.
“Kita tahu cabaran terbesar pada hari ini adalah untuk menjalankan kempen dengan mematuhi SOP kerana kita tidak lagi boleh melakukan kempen rumah ke rumah.
“Perhimpunan yang menjadi medium utama sebelum ini juga tidak boleh dilakukan. Justeru, kami berharap pihak media arus perdana dapat memberikan ruang kepada calon untuk menyampaikan maklumat hala tuju parti,” katanya dalam sidang akhbar di Graha Amanah Melaka, Bukit Katil di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pada PRN kali ini pihaknya mempertaruhkan empat calon wanita.
“Secara umum 18 calon yang ditampilkan adalah mereka yang berusia bawah 50 tahun, dengan usia termuda adalah 21 tahun di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai, manakala 10 calon merupakan anak muda berusia bawah 40 tahun.
“Daripada jumlah keseluruhan itu, empat calon adalah wanita,” ujarnya.
Bercakap mengenai hala tuju PH, beliau memaklumkan, Pelan Tindakan Maju Bersama Harapan akan diumumkan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Rabu ini, pukul 5 petang. -UTUSAN










