PH Melaka akur keputusan Mahkamah Tinggi - Utusan Malaysia

PH Melaka akur keputusan Mahkamah Tinggi

ADLY ZAHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Peluang terakhir rakyat memperbetulkan keadaan adalah melalui Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November ini, kata Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari.

Kenyataan itu hadir selepas Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur hari ini menolak semakan kehakiman terhadap proses, prosedur dan fakta pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Ke-14.

Adly berkata, pihaknya akur dan menghormati keputusan dibuat Mahkamah Tinggi itu.

“PH Melaka merakamkan ucapan terima kasih kepada barisan peguam atas semua usaha dan sumbangan yang diberikan.

“Sehubungan itu, peluang terakhir rakyat Melaka adalah melalui PRN yang akan berlangsung pada 20 November 2021. Saya merayu kepada semua rakyat untuk turun mengundi bagi memastikan demokrasi dan hak rakyat dalam menentukan kepimpinan negeri ini terus terpelihara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mahkamah Tinggi menolak permohonan Adly untuk mendapatkan kebenaran bagi mencabar kesahihan pembubaran DUN Melaka.

Sehubungan itu, PRN Melaka yang dijadualkan berlangsung 20 November ini akan berjalan seperti dijadualkan.

Hakim Datuk Noorin Badaruddin memutuskan demikian selepas mendapati pembubaran tersebut tidak boleh dicabar melalui semakan kehakiman.

Katanya, kuasa untuk membubarkan DUN tersebut adalah kuasa mutlak Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam. -UTUSAN ONLINE

 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN