MELAKA: Kerajaan negeri baharu yang dibentuk selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan dianggotai pelbagai kaum bagi mewujudkan kestabilan, perpaduan dan penuh dengan semangat muhibah.
Justeru, calon tunggal Ketua Menteri Melaka daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Sulaiman Md. Ali memohon kepada kaum Cina untuk memberikan undi kepada calon-calon MCA pada Sabtu ini.
Menurutnya, suara daripada masyarakat Cina akan memudahkan kerajaan negeri untuk menjalankan pentadbiran serta pengurusan apabila diberi mandat kelak.
“Saya mohon kepada pengundi Cina untuk memberi undi kepada calon MCA yang kami (BN) ketengahkan dan mereka boleh memberi perkhidmatan terbaik.
“Saya fikir kaum Cina mesti ada wakil dalam kerajaan yang kita bentuk nanti. Jika dilihat kepada rekod pentadbiran BN sejak 60 tahun lalu, kerajaan yang dibentuk adalah stabil dan kukuh kerana di dalamnya terangkum pelbagai kaum,” katanya kepada pemberita selepas pertemuan dengan pemimpin MCA di sini hari ini.
Hadir sama Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong.
MCA tidak memenangi sebarang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Melaka pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu dan PRN kali ini parti itu meletakkan tujuh calon.
Tujuh kerusi DUN yang ditandingi adalah Machap Jaya, Bemban, Klebang, Ayer Keroh, Kota Laksamana, Kesidang dan Bandar Hilir. -UTUSAN ONLINE










