PASIR GUDANG: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu membatalkan keputusan untuk mengurniakan sebidang tanah dan sebuah rumah bernilai RM100 juta sebagai hadiah kepada Datuk Seri Najib Razak.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, sekiranya permohonan bekas Perdana Menteri itu diluluskan, keputusan tersebut boleh disifatkan sebagai salah guna kuasa dan pecah amanah.
Menurut beliau, Perdana Menteri dan barisan Kabinet pimpinannya perlu bertanggungjawab atas kesalahan dan jenayah jika meluluskan permohonan terbabit.
“Saya minta Perdana Menteri batalkan dengan segera keputusan untuk mengurniakan RM100 juta wang rakyat, wang negara dan wang pembayaran cukai kepada seorang yang telah dan sedang disabitkan kesalahan jenayah oleh Mahkamah Tinggi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengesahkan Kabinet menerima permohonan daripada Najib untuk mendapatkan hartanah bernilai RM100 juta di ibu negara dalam sesi penggulungan di Dewan Rakyat pada Khamis.
Tengku Zafrul dilaporkan berkata, maklumat berkaitan rumah dan hartanah tersebut tidak dimasukkan ke dalam Bajet 2022 kerana permohonannya dibuat selepas pembentangan.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang meminta penjelasan mengapa Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 tidak menyentuh mengenai hartanah RM100 juta yang akan diberikan kepada Najib.
Mengulas lanjut, Hassan menyifatkan keputusan itu sebagai satu jenayah kerana kes Najib masih belum selesai selepas disabitkan kesalahan jenayah dengan hukuman penjara 12 tahun dan juga denda oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
“Najib tidak masuk penjara sekarang hanya kerana terdapat perintah penggantungan pelaksanaan hukuman. Namun, Ahli Parlimen Pekan itu kekal telah dijatuhkan dengan sabitan pertuduhan dan keputusan itu tidak ada penggantungan.
“Rayuan kes Najib belum selesai. Ini bermakna Najib kekal bersalah dan keputusan sabitan ke atasnya menjadikan Najib seorang tertuduh yang bersalah atas tuduhan jenayah dan tidak layak mendapat sebarang hadiah, kurniakan atau ganjaran daripada kerajaan,” katanya. -UTUSAN ONLINE










