PUTRAJAYA: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) menjelaskan, pemindahan wang kepada syarikat milik penuh yayasan itu, Lembaran Yadim Sdn. Bhd. (LYSB) melibatkan suntikan modal sebanyak RM500,000 merupakan pelan pelaburan jangka sederhana demi meningkatkan dana dan pendapatan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh berkata, perkara itu dipersetujui dalam mesyuarat khas Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yadim yang bersidang pada 12 November 2020 bagi memulihkan kembali kedudukan kewangan anak syarikat yang mencatatkan kerugian terkumpul sejak kepimpinan Yadim sebelum ini.
Kata beliau, ia sekali gus memberi modal kepada anak syarikat tersebut untuk melaksanakan pelan perniagaan baharu iaitu peruncitan melalui pembukaan Yadim Mart dan perdagangan selain bidang perniagaan sedia ada seperti pengurusan aset hartanah sejak pemilikannya oleh Yadim pada tahun 2010 lagi.
“Alhamdulillah, tindakan ini sudah mula menampakkan hasil dengan pemulihan kedudukan kewangan anak syarikat tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Perkara itu bagi menjelaskan beberapa isu yang dibangkitkan Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar terhadap Yadim ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dalam persidangan Dewan Rakyat, Isnin lalu.
Berhubung usaha sama Yadim/LYSB dan Nurflix, Kamarul Arief berkata, sehingga hari ini, tiada sebarang penyaluran peruntukan dilakukan kepada syarikat tersebut dan kedua-dua pihak sedang memuktamadkan terma perjanjian sebelum Yadim melalui proksi anak syarikatnya membeli 10 peratus kepentingan saham dalam syarikat ini.
Katanya, langkah itu sekali gus meletakkan Yadim dalam kedudukan strategik untuk meneroka ruang baharu dakwah melalui bidang hiburan dan pendidikan berunsurkan Islamik dalam arus perdana melalui teknologi penstriman yang mempunyai sasaran dakwah lebih luas.
Selain itu, kata beliau, berkaitan isu rumah inap atau rumah tamu, rumah tersebut disewa oleh Yang Dipertua Yadim, Nasrudin Hassan sejak Disember tahun lalu dan bayaran sewaan bulanan dibayar sendiri beliau.
Beliau turut menjelaskan, nilai perabot sebanyak RM22,000 seperti ditimbulkan juga adalah tidak benar kerana perabot yang digunakan diambil daripada perabot-perabot yang tidak digunakan di Yadim dan kelengkapan asas pula oleh Lembaran Yadim Sdn. Bhd.
“Perkara-perkara yang disebutkan ini mendapat semakan pihak audit luar bagi laporan kewangan Yadim tahun 2020 dan mendapati bahawa langkah diambil Yadim adalah wajar dan mematuhi tatacara sewajarnya.
“Sebagai sebuah yayasan milik kerajaan, Yadim mengalu-alukan keprihatinan setiap lapisan masyarakat terhadap perjalanan operasi dan tatakelola yayasan ini,” katanya.
Pada masa sama, katanya, Yadim percaya menjadi tanggungjawab semua untuk menyemak kesahihan dan kebenaran sesuatu ditimbulkan dan sentiasa komited terhadap aspek integriti yang menjadi teras kepada ajaran Islam dan keutamaan kerajaan pada masa ini. -UTUSAN










