MELAKA: Ahli Dewan Tertinggi (ADT) Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) memutuskan hanya akan menerima calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dalam kalangan ahli partinya sahaja.
Ketua Penerangan Putra, Ashraf Rosli berkata, sebagai sebuah parti baharu, pihaknya ingin mempersembahkan kepada rakyat khususnya pengundi di Melaka bahawa calon-calon Putra merupakan muka baharu, yang bersih daripada isu rasuah, bermoral serta berintegriti.
Beliau berkata, calon parti itu juga dipilih daripada anak-anak tempatan, yang selama ini banyak menyumbangkan jasa dan bakti kepada rakyat dan negeri Melaka khasnya.
“ADT juga telah memutuskan bahawa, Putra tidak akan menerima mana-mana calon daripada luar yang bukan ahli.
“Calon-calon dari Putra adalah individu terpilih bukan dari ‘kelompok kayangan’ yang telah lama ‘turun padang’, menjadi pendengar dan penyelesai masalah rakyat Melaka.
“Masalah-masalah tempatan yang kebanyakannya terlepas pandang oleh kerajaan-kerajaan terdahulu akibat kerakusan kuasa dan penjarahan, rakyat Melaka banyak dibantu oleh bakal-bakal calon dari Putra yang sebelum ini bergerak sebagai sukarelawan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu Utusan Malaysia melaporkan, kem bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron ditawarkan ruang perbincangan dengan Putra seandainya empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berkenaan gagal mendapat tempat atas tiket Pakatan Harapan (PH).
Dalam pada itu, Ashraf menambah, ADT parti juga memutuskan akan meletakkan tiga hingga lima calon untuk bertanding pada PRN, 20 November ini.
“Maka, Putra dengan rendah hati memohon sokongan dan undi daripada rakyat Melaka yang sedang menjadi ‘pertaruhan’ ahli politik daripada parti-parti besar.
“Agar kita sama-sama berusaha menamatkan ‘legasi’ kerakusan dan penjarahan yang semakin membarah,” jelasnya. -UTUSAN ONLINE