LRT P. Pinang, naik taraf JRTB dua keperluan berbeza

LRT P. Pinang, naik taraf JRTB dua keperluan berbeza

LOKASI nahas yang mengorbankan 15 pelajar UPSI di JRTB menghubungkan Gerik, Perak dan Jeli, Kelantan. – UTUSAN/ MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Angkatan Muda Keadilan (AMK) negeri membidas kenyataan Pas Pulau Pinang yang mencadangkan kerajaan menangguhkan projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara dan memberi keutamaan kepada kerja-kerja menaik taraf Jalan Raya Timur Barat (JRTB) khususnya yang menghubungkan laluan Gerik, Perak dan Jeli, Kelantan.

Ketuanya, Fadzli Roslan berkata, kenyataan itu bukan sahaja tidak berasas, malah menggambarkan wujudnya pemikiran pembangunan yang sempit, tidak berpandukan fakta dan cenderung menjadikan isu infrastruktur sebagai modal politik murahan.

Katanya, projek LRT yang menelan kos RM17.3 bilion adalah penyelesaian jangka panjang terhadap kesesakan lalu lintas yang semakin serius di Pulau Pinang dan merupakan teras kepada pembangunan ekonomi, pelaburan serta pengangkutan awam mampan di kawasan metropolitan.

Beliau berkata, laluan Gerik-Jeli di JRTB pula telah menerima peruntukan lebih RM75 juta daripada kerajaan Persekutuan termasuk tambahan RM30 juta seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Ogos 2023.

Katanya, menggugurkan satu projek demi mengutamakan projek lain hanyalah satu pendekatan terburu-buru dan tidak rasional.

“Kedua-dua projek sudah mempunyai saluran dana tersendiri. LRT Pulau Pinang dibiayai melalui pembiayaan bercampur termasuk pelaburan swasta, peruntukan kerajaan Persekutuan dan kaedah land value capture (LVC).

“Sementara itu, laluan Gerik-Jeli pula berada dalam pelan penyelenggaraan progresif kerajaan sejak 2022. Oleh itu, tidak timbul isu pilih satu dan korban yang lain. Ini bukan soal pertarungan bajet. Ini soal kebolehan merancang pembangunan secara bersepadu dan strategik,” katanya.

Terdahulu, Ketua Penerangan Pas Pulau Pinang, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan mencadangkan projek LRT Pulau Pinang yang menelan kos RM17.3 bilion ditangguhkan dan keutamaan diberi kepada kerja-kerja menaik taraf JRTB, susulan tragedi menyayat hati mengorbankan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Tambah Fadzli, adalah tidak wajar menjadikan tragedi terbabit sebagai alasan untuk menggagalkan projek lain yang juga penting kepada rakyat.

“Tragedi ini sepatutnya perlu ditangani dengan penuh tanggungjawab dan bukan dijadikan bahan untuk permainan politik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN