PONTIAN: Belanjawan Johor yang akan dibentangkan pada 25 November ini akan menggunakan pendekatan bersifat mengembang bagi memulihkan keadaan ekonomi ekoran pandemik Covid-19.
Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, keadaan ekonomi yang masih belum pulih sepenuhnya akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memerlukan pakej-pakej rangsangan ekonomi di peringkat negeri terus diperkenalkan.
Katanya, PKP yang dilaksanakan telah menyekat banyak perniagaan daripada beroperasi seperti biasa disebabkan sempadan negeri ini masih belum dapat dibuka sepenuhnya disebabkan pelbagai faktor.
“Ini ditambah faktor sempadan dengan Singapura yang masih lagi ditutup di mana pembukaan sempadan terbabit masih dalam rundingan antara kedua-dua negara,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan tinjauan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Benut di sini hari ini.
Turut serta, Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan; Pegawai Daerah Pontian, Mohd.Raffi Abdullah dan Pegawai Kesihatan Daerah Pontian, Dr. Surinah Asan.
Seramai 1,552 pelajar daripada enam buah sekolah menengah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Benut menerima vaksin menerusi Program Imunisasi Kebangsaan Covid-19 (PICK) Remaja berusia 12 hingga 17 tahun.
Hasni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN) Benut berkata, di bawah pendekatan belanjawan mengembang itu kelak, rakyat akan terus dibantu dengan pelbagai inisiatif yang diperkenalkan bagi meringankan beban mereka.
“Kerajaan negeri akan terus bantu rakyat dan menambah baik pakej rangsangan ekonomi dengan penglibatan semua agensi termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya.
Sementara itu, dalam program PICK Remaja berkenaan, seorang ibu, Rahayu Moh Sam, 40, bersyukur kerana anaknya, Mohd. Haikal Jalani, 14, yang mengalami kecacatan fizikal telah menerima vaksin.
Katanya, Mohd. Haikal yang merupakan anak bongsu daripada tiga beradik teruja untuk mendapatkan suntikan vaksin bagi melindungi dirinya daripada Covid-19.
“Haikal bangun seawal pukul 6.30 pagi dan memberitahu tidak sabar untuk ke PPV Benut, malah bila tiba di sini, ramai yang membantu Haikal yang terpaksa berkerusi roda,” katanya. -UTUSAN ONLINE