IPOH: Memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) bagi mengembalikan kestabilan politik negara yang akan dimeterai pada pukul 5 petang ini merupakan satu lembaran baru landskap politik negara.
Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming berkata, beliau bersyukur kerana langkah-langkah reformasi yang dipelopori oleh PH akhirnya membuahkan hasil dan diterima oleh kerajaan.
Menurutnya, antara reformasi yang dicadangkan PH ialah akta anti lompat parti, undi 18, had masa Perdana Menteri tidak melebihi dua penggal, pakej pemulihan ekonomi sebanyak RM45 billion untuk rakyat, reformasi parlimen serta peruntukan saksama kepada semua kawasan parlimen termasuk pembangkang.
“Jika reformasi institusi ini berlaku, ia adalah satu perkembangan yang positif untuk negara,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Kor Ming yang juga Pengerusi DAP Perak berkata, persefahaman yang dimeterai hari ini juga menetapkan jadual masa untuk kerajaan melaksanakan terma persetujuan.
Menurutnya, diharapkan persefahaman di antara kerajaan dan pembangkang akan membawa manfaat kepada rakyat dan negara.
“Bagaimanapun, perlu ditegaskan PH kekal sebagai ‘His Majesty loyal Opposition’ dan bebas untuk menegur dan mengkritik kerajaan sekiranya berlaku kesilapan.
“PH akan memainkan peranan penting semak dan imbang dalam sistem demokrasi berparlimen negara kita, tiada kompromi dalam soal integriti,” katanya.
Semalam, wakil-wakil pihak kerajaan dan pembangkang smemuktamadkan memorandum persefahaman antara kerajaan Persekutuan dan PH bagi mengembalikan kestabilan politik negara demi menangani wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara melalui pendekatan kerjasama secara dwipartisan.
Menurut kenyataan bersama wakil kerajaan dan wakil PH, dengan persefahaman ini tumpuan dan keutamaan akan diberikan oleh kedua-dua pihak kepada landskap politik yang baharu.
“Ini melalui inisiatif-inisiatif transformasi dan pembaharuan terhadap tata kelola pentadbiran kerajaan, khususnya memperkasakan peranan institusi Parlimen,” menurut kenyataan itu. – UTUSAN ONLINE