PETALING JAYA: Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan menyifatkan skim pembiayaan yang ditawarkan oleh Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) perlu diubah suai supaya sasaran untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dapat dicapai.
Beliau menghargai usaha BPMB dalam usaha pemulihan ekonomi dengan fokus utama terhadap membangunkan kesejahteraan sosioekonomi rakyat.
Namun, katanya, skim pembiayaan BPMB ketika ini tidak memberikan banyak kelebihan kepada syarikat-syarikat kecil dalam PKS.
“Kalau tengok laman web, jumlah dan tujuan pembiayaan nampak lebih kepada syarikat besar. Margin financing sebanyak 80 peratus tak berapa relevan kepada kebanyakan PKS ketika ini. Tak semua nak membiaya ‘projek baharu’, lebih perlu untuk aliran tunai,” katanya menerusi akaun Twitter miliknya.
Shahril juga berpendapat, BPMB serta semua Institusi Kewangan Pembangunan (DFI) perlu duduk bersama bagi membantu sektor-sektor yang terkesan.
“Kalaupun nak buat skim yang berbeza, koordinasi perlu dilakukan supaya ada “logik” dan data perlulah ke arah keputusan sektor yang diutamakan dalam situasi terdesak ketika ini.
“Jika semua buat hal dan menetapkan indeks pencapaian utama (KPI) sendiri, khuatir nanti tak capai matlamat keseluruhan dan ada sektor penting yang tercicir,” katanya.
Beliau mengulas kenyataan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BPMB, Arshad Mohamed Ismail bahawa semua DFI perlu memberi sokongan segera kepada perniagaan terutamanya PKS serta mikro sebagai langkah menyokong usaha pemulihan ekonomi negara.
Beliau berkata, bagi menyokong hasrat tersebut, BPMB ketika ini menawarkan lima skim pembiayaan berjumlah RM5.6 bilion, sebagai tambahan kepada kemudahan perbankan korporat bank.
Katanya, skim ini ditawarkan pada kadar pembiayaan pilihan dan menyasarkan sektor strategik utama iaitu pendigitalan, kelestarian, maritim dan logistik, pelancongan dan pengangkutan awam.
Beliau juga memberi jaminan bahawa BPMB akan terus memainkan peranan utama pada masa depan bagi menyokong pemulihan ekonomi negara dengan menyelaraskan strategi bank dan inisiatif kerajaan terhadap kelestarian, pendigitalan dan keterangkuman.
Isnin lalu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menyarankan supaya DFI merangka penyelesaian yang praktikal buat sektor perniagaan untuk membolehkan mereka kembali pulih dan beroperasi secepat mungkin. -UTUSAN ONLINE