Aminuddin kekal Pengerusi MPN PKR Negeri Sembilan - Utusan Malaysia

Aminuddin kekal Pengerusi MPN PKR Negeri Sembilan

ANWAR Ibrahim dalam sidang akhbar selepas menghadiri Mesyuarat MPN PKR Negeri Sembilan di Kediaman Rasmi Menteri Besar Negeri Sembilan di Seremban hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kedudukan Datuk Seri Aminuddin Harun selaku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Negeri Sembilan akan terus kekal.

 

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan dicapai selepas mesyuarat MPN PKR Negeri Sembilan yang diadakan selama kira-kira dua jam hari ini.

 

“Dibangkitkan itu adalah permintaan supaya Aminuddin beri sedikit perhatian kepada keperluan parti dan cabang-cabang untuk perkukuh jentera dalam menghadapi pilihan raya. Jadi, bila kita beri ruang, mereka bincang dan penjelasan kita akan teruskan dengan padu supaya memudahkan Aminuddin bertindak sebagai Menteri Besar dan Pengerusi MPN.

 

“Dalam pandangan, ada yang meminta diberikan perhatian bagaimana mahu pastikan program parti dan jentera parti lebih kuat, itu perkara dibangkitkan dan kita ambil kira pandangan ini dan saya minta Aminuddin teruskan sebagai Pengerusi MPN,” katanya dalam sidang akhbar di Kediaman Rasmi Menteri Besar Negeri Sembilan di sini yang menjadi lokasi mesyuarat tersebut.

 

Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson menambah, beliau menyedari terdapat desakan-desakan yang timbul terhadap Aminuddin dalam kalangan sebahagian pemimpin-pemimpin PKR negeri, namun, bagi beliau, ia hanyalah berkenaan bagaimana untuk terus memperkuatkan parti.

 

“Saya berkomunikasi dengan mereka dan saya rasa isu yang timbul kerana fokus mereka adalah parti, Aminuddin selaku Menteri Besar mengambil perhatian isu negeri dan hujah sebahagian pemimpin parti adalah fokus kepada jentera parti juga adalah penting dan saya rasa kami semua mencapai konsensus dalam hal ini,” katanya lagi.

 

Sebelum ini, timbul desakan dalam kalangan ahli MPN PKR negeri supaya Aminuddin digantikan dari kedudukannya sebagai Pengerusi MPN PKR Negeri Sembilan.

 

Antara dakwaan mereka, Aminuddin tidak menunjukkan minat dan kesungguhan untuk menjadikan PKR sebagai parti dominan dalam kerajaan negeri dan tidak membuat perancangan bersifat holistik terhadap perkembangan parti dan tiada tindakan atau program pengukuhan dan pemantapan pengurusan parti di peringkat MPN dan cabang. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN