PASIR GUDANG: Beberapa perkara dalam Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda sebelum Akta Anti Lompat Parti digubal bagi memastikan undang-undang tersebut berfungsi dengan efisien.
Ketua Parti Amanah (Amanah) Kawasan Pasir Gudang, Syed Othman Syed Abdullah berkata, jika perkara itu tidak diubah, ia akan menyebabkan akta tersebut tidak selari, malah tidak memberi kesan apabila dilulus dan dilaksanakan.
Beliau menjelaskan, perubahan yang perlu dilakukan melibatkan Artikel 10(1)(c) dan Artikel 42(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.
“Artikel 10(1)(c) adalah berkenaan hak berpersatuan, keluar dan menubuhkan persatuan. Situasi antara akta lompat parti dengan artikel 10 (1)(c) ini perlu diberikan gambar serta penjelasan yang sempurna.
“Ini bagi memastikan ia benar-benar dapat dibezakan antara kedua-dua situasi tersebut, agar pertindihan serta pertikaian tidak berlaku atau timbul antara kedua-duanya nanti,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Syed Othman membuat kenyataan itu mengulas ciapan Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said yang membangkitkan mengenai Akta Mencegah Lompat Parti dengan sembilan persoalan dalam satu ciapan menerusi Twitternya, Sabtu lalu.
Azalina mencadangkan untuk mengadakan pilihan raya bagi memecat wakil rakyat atau ‘recall election’ perlu dipertimbangkan bagi menghalang wakil rakyat yang telah diberikan mandat oleh rakyat sewaktu pilihan raya daripada melompat parti.
Syed Othman berkata, begitu juga Artikel 42(2)(a) berkenaan lantikan Perdana Menteri oleh Yang di-Pertuan Agong yang boleh melantik seorang Perdana Menteri daripada Ahli Parlimen yang mempunyai sokongan majoriti.
Jelasnya, dalam situasi tersebut, ia memberi ruang dan peluang apabila seseorang Perdana Menteri yang sudah hilang majoriti terpaksa meletakkan jawatannya dan boleh diganti dengan ahli Parlimen lain yang mendapat kepercayaan majoriti serta dilantik Agong.
“Walaupun ia berkemungkinan bukan datangnya daripada parti, majoriti pilihan rakyat semasa pilihan raya umum (PRU), ini seperti yang berlaku pada kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan kerajaan Keluarga Malaysia,” katanya.
Katanya, perubahan perlu dilakukan sebelum menggubal dan menguatkuasakan akta tersebut pada kadar segera sebelum PRU-15.
“Ketidakstabilan kerajaan yang berlaku sebelum ini telah membawa negara ini ke suatu situasi yang amat mendukacitakan hingga kepercayaan rakyat terhadap sistem demokrasi hilang selain memberi imej amat buruk di peringkat global,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE