Perak jadi contoh kematangan politik aras tinggi - Utusan Malaysia

Perak jadi contoh kematangan politik aras tinggi

NGA Kor Ming semasa perbahasan titah perasmian diraja pada sidang DUN Perak di Ipoh hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Perak menjadi negeri contoh kepada amalan kematangan berpolitik aras tinggi dalam kalangan ahli politiknya seperti yang dititahkan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Nga Kor Ming (DAP-Aulong) berkata, ia dicapai menerusi peruntukan yang saksama kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk pembangkang dan penglibatan ADUN pembangkang dalam mesyuarat kerajaan.

Menurutnya, langkah baharu itu adalah permulaan positif dan model Perak itu mampu untuk mengubah landskap politik negara.

“Perak menjadi negeri pertama yang mempamerkan kematangan berpolitik pada aras yang tinggi. Ia merupakan langkah untuk membina budaya politik yang berpaksikan kepada agenda reformasi dan kepentingan rakyat secara keseluruhan.

“Malah, Perdana Menteri pun mengikut model negeri Perak apabila beliau mengikut amalan Menteri Besar. Malah, Perdana Menteri baharu telah menandatangani kenyataan bersama pembangkang baru-baru ini.

“Dulu kata ‘no Anwar, no DAP, sekarang ‘yes Anwar, yes DAP’. Inilah permulaan yang baik, ini langkah yang baik, kematangan berpolitik tertinggi aras perdana dan Perak menjadi teladan terbaik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika perbahasan titah perasmian diraja pada Sidang Dewan Undangan Negeri Perak di sini hari ini.

Sementara itu, Kor Ming yang juga Pengerusi DAP Perak mencadangkan beberapa langkah untuk memperkukuhkan institusi dan reformasi Dewan negeri antaranya menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas Bajet, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), syarikat berkaitan kerajaan (GLC), kesihatan awam dan pengurusan tanah mengikut reformasi yang dirancang dan diamalkan di peringkat Persekutuan.

Menurutnya, kerajaan negeri dicadang melantik wakil pembangkang sebagai Jawatankuasa Kira-Kira Wang (PAC) Perak, selaras dengan peranan penting yang dimainkan pembangkang dan diamalkan di peringkat Dewan Rakyat.

“Selaras dengan reformasi dan janji bekas Perdana Menteri yang mana ketua pembangkang di Parlimen bertaraf menteri, maka di peringkat negeri, kedudukan Ketua Pembangkang negeri juga wajar bertaraf Exco.

“Kerajaan juga dicadangkan supaya meminda enakmen negeri dan perintah tetap Dewan Negeri supaya memberi kuasa kepada PAC untuk memanggil saksi dan memberi keterangan semasa soal siasat,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya