PETALING JAYA: Parti UMNO juga menyumbang kepada kegagalan kerajaan Perikatan Nasional (PN) kerana parti itu juga adalah merupakan sebahagian daripada kerajaan ketika ini.
Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Segambut, Mahathir Mohd. Rais berkata, pengumuman Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkaitan kegagalan kerajaan adalah sangat tidak berpendirian.
“Lupakah beliau bahawa sekiranya kerajaan ini gagal, UMNO juga turut sama gagal kerana UMNO juga merupakan sebahagian daripada kerajaan PN.
“Ahmad Zahid jelas tidak lagi mempunyai kredibiliti untuk memimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN) selepas membuat pengakuan berhubung dengan rakaman audio yang tersebar antara beliau dan Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan suaranya,” katanya dalam kenyataan itu.
Pada 7 Julai baru-baru ini, Ahmad Zahid mengumumkan untuk menarik sokongan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta merta dan menggesa supaya Muhyiddin melepaskan jawatannya itu.
Menurut Mahathir, tindakan mengheret UMNO untuk menarik semula sokongan terhadap Muhyiddin ketika mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi itu telah memperlihatkan keadaan parti itu yang semakin terdesak untuk mendapatkan kuasa sehingga bertindak untuk menggulingkan kerajaan dan sanggup mengenepikan kebajikan rakyat.
“Namun, saya percaya, masih ramai pemimpin UMNO yang sentiasa meletakkan rakyat sebagai keutamaan dan bukannya agenda politik semata-mata.
“Saya mendesak agar semua menghentikan tindakan mempolitikkan soal sidang Dewan Rakyat, program imunisasi dan sebagainya, sebaliknya, menumpukan perhatian dalam Pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara seperti mana yang telah diumumkan Muhyiddin bertepatan dalam memastikan kerajaan dapat melaksanakan perancangan yang lebih tersusun mendepani pandemik Covid-19,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE