UMNO tak boleh sekongkol penderhakaan - Utusan Malaysia

UMNO tak boleh sekongkol penderhakaan

MOHD. ZOLKAFLY HARUN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: UMNO tidak boleh bersengkongkol dengan tindakan kerajaan Persekutuan yang menderhaka terhadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Ketua Penerangan UMNO Perak, Datuk Mohd. Zolkafly Harun berkata, kerajaan hari ini secara terang telah melanggar prinsip kedaulatan undang-undang dengan membelakangkan Yang di-Pertuan Agong.

“UMNO Perak menzahirkan rasa amat kesal dengan tindakan kerajaan Persekutuan membelakangi kuasa Yang di-Pertuan Agong selaku ketua negara berkenaan pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat.

“Sebagai sebuah institusi politik yang berteraskan agama Islam dan bangsa Melayu, UMNO sentiasa akan memperjuang dan menjunjung tinggi prinsip Rukun Negara dengan membela institusi raja-raja Melayu,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Mohd. Zolkafly, ahli UMNO di negeri ini perlu bersatu hati dengan memberi sokongan penuh terhadap pendirian Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bahawa tindakan kerajaan hari ini merupakan satu bentuk penderhakaan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Beliau berkata, UMNO tidak boleh sama sekali bersengkongkol dalam penderhakaan itu dan menyarankan semua Ahli Parlimen UMNO melaksanakan keputusan Majlis Tertinggi UMNO iaitu menarik sokongan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Katanya, UMNO Perak juga menyatakan sokongan penuh kepada pendirian Presiden agar Muhyiddin dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Takiyuddin Hassan wajar meletak jawatan secara terhormat,” katanya.

“Institusi Presiden UMNO perlu dihormati dan nasihat serta saranan dari Presiden dan Majlis Kerja Tertinggi parti wajar diterjemahkan oleh semua Ahli Parlimen UMNO tanpa syak wasangka.

“UMNO akan sentiasa mempertahan dan menjunjung tinggi kedudukan Yang di-Pertuan Agong selaku Ketua Utama Negara seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN