'Teguran Adly tak manis' - Pas Melaka - Utusan Malaysia

‘Teguran Adly tak manis’ – Pas Melaka

Kamarudin Sidek
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Pas negeri menyifatkan cadangan penangguhan sambutan ulang tahun kelahiran Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam pada 24 Ogos depan oleh Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari sebagai ‘tidak manis’.

Pesuruhjayanya, Datuk Kamarudin Sidek berkata, ini kerana telah wujud perbincangan berterusan di antara kerajaan negeri dengan Yang Dipertua Negeri untuk mengadakan sambutan sederhana sama seperti tahun lalu.

“Saya juga mengkritik cadangan Adly yang mengingatkan agar ditangguhkan sambutan keputeraan Tun Mohd. Ali pada Ogos depan.

“Saya rasa teguran itu tidak berapa manis kerana pihak kerajaan sentiasa berbincang dengan pihak Tun untuk kebaikan bersama. Seperti tahun lalu sambutan agak sederhana dan luar biasa kerana kerajaan sedar situasi semasa,” katanya kepada Utusan Online.

Semalam, Utusan Online melaporkan, sambutan ulang tahun kelahiran Yang Dipertua Negeri perlu ditangguhkan ke satu tarikh lain, cadang PH Melaka.

Adly berkata, ia selaras dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk menangguhkan sambutan ulang tahun keputeraan rasmi Seri Paduka pada Jun lalu.

Dalam pada itu, Kamarudin turut membidas kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Katil itu berkenaan Melaka memerlukan pasukan yang cekap untuk menangani krisis yang berlaku bagi memastikan pencegahan penularan wabak dibuat secara sistematik dan teratur serta pemulihan ekonomi dapat disegerakan.

Kata Kamarudin, fokus membantu rakyat dalam situasi Covid-19 telahpun dilaksanakan melalui pakej rangsangan ekonomi yang membabitkan nilai RM174.53 juta melibatkan 60 inisiatif.

Jelasnya, bahkan pakej rangsangan yang telah dibentangkan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali itu adalah tertinggi selain Sarawak, jika mengikut populasi penduduk.

“Saya minta pimpinan PH Melaka ulang kaji dulu sebelum membuat ulasan tentang pentadbiran kerajaan negeri.

“Saya ingin mengingatkan agar pihak pembangkang supaya peka dengan perkembangan aktiviti kerajaan negeri agar tidak tertinggal kereta api,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN