PETALING JAYA: Kerajaan negeri Pulau Pinang dicadangkan mengadakan semula pemetaan dan ukur tanah milik kerajaan negeri bagi memastikan penerokaan tanah haram dapat dibanteras secara habis-habisan.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Ketua Wanita UMNO Pulau Pinang, Datuk Norliza Abdul Rahim menegaskan supaya pihak kerajaan negeri lebih bertegas dan berani.
“Sudah tiba masanya penguatkuasaan dan penyelarasan perlu dikemaskini, diperketatkan dan ditambah nilai dalam kerja-kerja pemetaan dan ukur tanah di bawah kerajaan negeri masing-masing.
“Malah, tindakan Kerajaan Negeri Pahang di bawah pimpinan Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang bertegas dalam soal operasi penguatkuasaan di kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) Batu Talam, Raub adalah satu sikap yang perlu dicontohi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya,campur tangan mana-mana pemimpin politik yang kononnya dianggap pejuang rakyat sedangkan secara jelas dan terang-terangan adalah sebaliknya.
“Ahli politik sebegini boleh diibarat juga tak tahu menari, dikatakan lantai jongkang-jongket malah, pihak yang menceroboh ini umpama sepuluh kali ukur, sekali kerat.
“Saya percaya, kerajaan negeri mempunyai ketegasan yang kukuh seperti mana yang ditunjukkan oleh Kerajaan Pahang bahawa setiap pencerobohan tanah itu adalah melanggar undang-undang,” katanya. -UTUSAN ONLINE