Bantu rakyat, henti pertikaian politik - Anifah Aman - Utusan Malaysia

Bantu rakyat, henti pertikaian politik – Anifah Aman

ANIFAH AMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ahli politik kerajaan dan pembangkang perlu menghentikan pertikaian politik sebaliknya memberi tumpuan untuk membantu rakyat.

Presiden Parti Cinta Sabah (PCS), Datuk Sri Anifah Aman, berkata, tumpuan itu harus diberikan terutama oleh mereka yang memegang jawatan tanpa mengambil kita perbezaan fahaman politik.

“Jika kerajaan tidak mampu mengendalikan situasi itu, perkara lain perlu dipertimbang untuk memastikan matlamat sebenar tercapai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bekas Menteri Luar itu berkata, ramai pihak yang marah terhadap ahli politik dilihat menggunakan amalan berbeza dalam soal pematuhan prosedur operasi standard (SOP) membendung wabak Covid-19.

Ini ditambah pula dengan dengan ahli politik atau pemimpin yang bercuti ke luar negara yang telah memberi mesej tidak baik kepada orang ramai yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

“Hanya disebabkan mereka boleh, tidak semestinya mereka patut bercuti. Kasihanilah mereka yang telah kehilangan pekerjaan, kehidupan biasa dan bekalan makanan di atas meja.

“Ketika orang lain menderita, adakah patut anda (ahli politik) menunjukkan kekayaan dan kebahagian kepada mereka yang terkesan ini?,” soalnya.

Isnin lalu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilaporkan melawat bangunan ikonik Hagia Sophia ketika berada di Turki.

Beliau berada di Eropah untuk lawatan rasmi dan minggu lalu mengunjungi Austria serta bertemu dengan Menteri Hal Ehwal Digital dan Ekonomi Austria, Margarete Schramböck.

MITI merupakan kementerian yang bertanggungjawab dalam memberi maklumat dan mengemaskini SOP untuk sektor-sektor dibenarkan beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) termasuklah kilang di negara ini.

Bagaimanapun, kenyataan bekas Ahli Parlimen Kimanis itu bersifat menyeluruh dan tidak menujukan kepada mana-mana individu atau kementerian tertentu.

Dalam pada itu, Anifah menggesa kerajaan untuk tampil dengan polisi yang lebih baik dalam mengekang penularan wabak dan disamping mencari keseimbangan antara kehidupan masyarakat dan nyawa.

Malah, katanya, adalah lebih baik kerajaan menguatkuasakan pemantauan di sektor-sektor perniagaan yang dibenarkan beroperasi sepanjang sekatan pergerakan penuh bagi mengekang penularan wabak.

“Semua maklum pekerja kilang adalah yang paling terdedah dengan virus ini. Di Selangor, kebanyakan kluster berpunca daripada kilang. Apa yang kerajaan lakukan untuk pastikan pekerja ini diuji dan dipantau dengan betul? Dimanakah pihak berkuasa?

“Rakyat merasakan terdapat bentuk suapan dalam sistem yang membolehkan mereka beroperasi dan akhirnya membawa kepada peningkatan kes jangkitan di negara ini,” katanya.

Selain, kata beliau, aplikasi MySejahtera patut berfungsi dengan baik sebagai alat penjejak untuk mengesan kes-kes kontak rapat supaya pengasingan boleh dilakukan secara efisien terutama di kawasan tumpat.

“Apa gunanya aplikasi ini jika tidak digunakan sebaiknya? Pada akhirnya, ia hanya menjadi aplikasi tidak berguna di telefon yang hanya digunakan untuk memeriksa sesuatu sahaja,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN