Rombakan AMK Selangor demi kelangsungan parti - Utusan Malaysia

Rombakan AMK Selangor demi kelangsungan parti

AKMAL Nasir Nasrullah menunjukkan laporan polis terhadap Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd. Rashid Hasnon di Johor Bahru, di sini hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Rombakan terhadap kepimpinan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor dibuat dalam usaha mencari barisan kepemimpinan pelapis serta bagi memperkukuh kedudukan parti menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang akan diadakan.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasir Nasrullah berkata, mana-mana pihak tidak seharusnya bermain dengan spekulasi yang mendakwa rombakan itu bersifat percaturan politik.

Jelasnya, ketika ini rombakan dibuat melibatkan dua negeri iaitu Selangor dan Perlis, sebelum diteruskan ke kawasan lain termasuk peringkat pusat.

“Keputusan saya merombak beberapa kepimpinan dalam AMK berlandaskan beberapa faktor, yang pertama, saya lihat sudah tiba masanya kita mencari pelapis kepada kepemimpinan peringkat negeri.

“Ini kerana majoriti daripada kami (barisan kepemimpinan sedia ada) tidak akan meneruskan kepemimpinan di peringkat AMK bila tamat tarikh memegang jawatan, termasuklah saya sendiri.

“Jadi, saya kira, biarlah kita beri peluang kepada muka baharu yang lebih muda untuk memegang tanggungjawab sebelum pemilihan diadakan pada Mei 2023 nanti,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis terhadap Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd. Rashid Hasnon di sini hari ini.

Isnin lalu, AMK Pusat menggugurkan kedudukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik, Najwan Halimi sebagai Ketua AMK Selangor.

Tindakan itu bagaimanapun mendapat bantahan apabila sebanyak 17 cabang AMK negeri itu menuntut supaya kedudukan Najwan terus dikekalkan.

Sementara itu, Akmal Nasir yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru berkata, pihaknya telah menerima cadangan enam nama calon untuk menjawat jawatan berkenaan melalui satu mesyuarat yang diadakan bersama 18 Cabang AMK Selangor, semalam.

“Kesemua nama ini akan diperhalusi untuk menjawat jawatan Ketua AMK Selangor, manakala proses seterusnya adalah memaklumkan Menteri Besar Selangor yang juga Pengerusi PKR negeri untuk disahkan lantikan berkenaan.

“Insha-Allah, dalam masa terdekat ini, kita akan umumkan siapa Ketua AMK Selangor dan Perlis akan menyusul kemudian mungkin minggu depan. Seterusnya kepimpinan baharu akan menyusun ahli jawatan kuasa mereka,” ujarnya.

Ujar Akmal Nasir, tindakan itu juga sebagai satu mesej kepada generasi muda bahawa PKR sentiasa memberi ruang kepada golongan muda untuk bersama-sama dalam kepimpinan parti.

“Saya juga meminta semua ahli agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung perkara ini. Janganlah ada antara kita yang terlalu taksub kepada mana-mana kumpulan di dalam parti,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN