KUALA LUMPUR: Tiada percanggahan yang berlaku di antara pemimpin Muafakat Nasional (MN) berhubung pendirian Pas yang mendominasi tiga negeri pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) iaitu Kelantan, Kedah dan Terengganu.
Menjelaskan perkara tersebut, Timbalan Ketua Pemuda Pas Pusat, Ahmad Fadhli Shaari berkata, kenyataan Presiden Pas hanyalah memberi gambaran bahawa tiga negeri itu adalah berada di bawah pentadbiran parti Islam berkenaan.
Malah, kenyataan Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu juga bukanlah dikira sebagai ‘peringatan’ kepada parti lain untuk tidak masuk campur dalam isu pengagihan kerusi di negeri itu, kerana segalanya akan diputuskan dalam rundingan bersama parti-parti yang terlibat.
“Saya fikir kedua-dua pemimpin berkenaan bercakap dari konteks masing-masing, Presiden Pas menyebut secara umum sahaja dan tentunya secara prinsip ketiga-tiga negeri itu berada di bawah pentadbiran Pas sebagai tunjangnya pada hari ini.
“Manakala Datuk Seri Shahidan berpandangan secara terperincinya, kerusi-kerusi masih belum boleh disebut pengagihannya secara tepat. Jadi, kedua-dua itu tidak kontradik,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini, Abdul Hadi berkata, Pas akan mendominasi kerusi di Kelantan, Terengganu dan Kedah.
Namun, perkara itu masih dalam perbincangan pimpinan tertinggi Perikatan Nasional (PN).
Susulan daripada kenyataan tersebut, Pengerusi UMNO Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, hasrat Pas inginkan 50 kerusi Parlimen tidak wajar dibincangkan kerana PRN Sabah masih lagi berlangsung.
Mengulas lanjut, Ahmad Fadhli turut berkata, adalah menjadi harapan Pas untuk tidak bertembung sesama parti gabungan dalam PN, maka sebab itu perbincangan diadakan lebih awal dalam Muktamar Pas.
“Kita tak mahu pertembungan berlaku, bukan di negeri itu sahaja, bahkan di seluruh negara, kita mahukan satu lawan satu.
“Namun dalam masa sama, kita juga mengharapkan rakan-rakan dalam Muafakat Nasional dan PN turut menghargai kesediaan Pas yang telah memberikan laluan di Sabah,” ujarnya. – UTUSAN










