PN-BN perlu bincang lebih awal, elak konflik - Utusan Malaysia

PN-BN perlu bincang lebih awal, elak konflik

KHAIRY Jamaluddin (tiga dari kanan) menyampaikan Anugerah Usahawan Rekrut Kemas Negeri Sembilan kepada Nor Halis Yunus dalam program Wacana Ilmu Wanita Inspirasiku (Wins), Kemas Negeri Sembilan, Seremban hari ini. Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Operasi Kemas, Ahmad Kamal Idris Nawawi (dua dari kanan) dan Pengarah Kemas Negeri Sembilan, Muhamad Abu Bakar (kanan). - UTUSAN/MUHAMMAD IZZAT TERMIZIE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Perlu ada perbincangan lebih awal di antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) bagi mengelakkan timbul kemelut seperti isu pelantikan Ketua Menteri Sabah baru-baru ini.

Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) selepas ini, kedua-dua pihak perlu mencari titik pertemuan bagi perbincangan seperti isu pengagihan kerusi termasuk jawatan Menteri Besar dan ia tidak sewajarnya diputuskan pada saat-saat terakhir.

“Kalau kita buat awal dan ada semangat hormat antara satu sama lain saya rasa perkara ini dapat dielakkan tetapi kalau kita buat kerja saat-saat terakhir dan kita pun buat tanpa pengetahuan kawan itu boleh menimbulkan masalah.

“Tapi saya harap tidak ada pihak luar yang melagakan kita lah dan kita dapat selesaikan masalah antara UMNO dan PN,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan program Wacana Ilmu Wanita Inspirasiku (Wins), Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Negeri Sembilan dekat sini hari ini.

Beliau yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi turut berpandangan, isu siapakah yang akan menduduki jawatan Menteri Besar juga mesti diputuskan di antara PN dan BN bagi mengelakkan sebarang salah faham daripada berlaku.

“Kalau begitu kita tidak ada salah faham, mungkin kes di Sabah disebabkan Pilihan Raya Negeri (PRN) itu diadakan secara mengejut, tidak ada cukup masa untuk kita berunding dan sebagainya tetapi untuk PRU-15 kita ada masa lagi, jadi masa inilah kita buat keputusan.

“Kita bincang elok-elok, okay negeri ini, parti ini akan jadi Menteri Besar, sekiranya prestasi mereka begitu, ya ia bergantung kepada prestasi juga. Jadi saya rasa, Sabah ini ada hikmahnya juga sebab ia menunjukkan bahawa kalau kita tidak buat perbincangan dengan elok, lebih awal, ia boleh menimbulkan macam-macam salah faham nanti,” katanya.

Sementara itu, Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau berpandangan, sebagai agensi yang sering berada di lapangan, Kemas boleh memainkan peranan untuk melihat kesan ekonomi jangka sederhana yang menimpa rakyat selepas pemberian moratorium tamat.

“Tahun depan kita ada pendapatan garis kemiskinan baharu, jadi kita mesti pastikan bahawa mana-mana keluarga yang ekonomi mereka tidak dapat pulih ataupun terus merosot, betul-betul dapat dikenal pasti dan segala program bantuan sampai kepada mereka, kita tengok enam bulan ini disebabkan moratorium, Bantuan Prihatin Nasional dan sebagainya, mungkin kesan ekonomi terhadap rakyat itu tidak dapat dilihat sepenuhnya.

“Mungkin selepas ini kita nampak ada pemulihan tapi kalau tidak ada, kalau ada yang terus menganggur, kalau ada yang terus pendapatan mereka terjejas dan mereka tidak dapat melanjutkan moratorium maka kita kena pastikan bahawa belanjawan akan datang diberikan tumpuan kepada kumpulan tersebut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.