‘Dibayar?… itu kerja gila’ - Utusan Malaysia

‘Dibayar?… itu kerja gila’

Norazman Utoh Nain
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERIKATAN NASIONAL (PN) pastinya mempunyai strategi yang tersendiri untuk menentang Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Senallang.

Mana tidaknya, PN melalui Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mempertaruhkan anak buah Mohd. Shafie sendiri, Norazman Utoh Nain, 45, untuk mencabarnya di kerusi itu.

Bercakap kepada wartawan Utusan Malaysia, HADI AB. MANAP semalam, Norazman berkongsi kisahnya dalam arena politik di Sabah dan bagaimana keyakinan untuk mengalahkan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) itu.

Memasuki minggu kedua berkempen, bagaimana pene­rimaan pengundi di Senallang?
Rata-rata masyarakat yang saya temui ingin perubahan setelah lebih kurang 30 tahun di bawah kepimpinan sedia ada. Sekarang mereka ingin mencuba kepimpinan baharu. Insya-Allah di Senallang kita akan ada Yang Berhormat yang baharu.

Saudara mencabar Ketua Menteri yang juga bapa saudara. Adakah saudara yakin dapat tumbangkan beliau?
Saya tidak boleh bagi jaminan yang kita akan berjaya. Tapi berdasarkan kepada hear and say, kepada apa yang kita dengar daripada masyarakat yang saya temui rata-rata inginkan perubahan. Sebab banyak janji yang dibuat pemimpin terdahulu tidak berjaya ditunaikan. Jadi kalaulah apa yang dikata ini dikota pada 26 haribulan, kita akan ada satu kejutan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Pandangan peribadi saudara terhadap Mohd. Shafie?
Sebelum ini dia menjadi ahli Parlimen selama 30 tahun. Jadi ADUN baru lebih kurang 26 bulan. Sejak menjadi ADUN di DUN Senallang ini, beliau dilihat jarang dapat balik ke kawasan untuk menjenguk masyarakat yang diwakili disebabkan kesi­bukan sebagai Ketua Menteri. Dan kita pun tahu, disebabkan kedudukan Warisan yang go­yang di peringkat negeri ini menyebabkan masa beliau lebih banyak dihabiskan untuk memastikan Warisan kekal meme­rintah negeri Sabah. Jadi kebajikan rakyat selama dua tahun dua bulan ini agak tidak dapat dibela.

Jika PN dan GRS menang di Senallang, apa tawaran kepada para pengundi?
Saya tidak berani berjanji apa-apa buat masa ini cuma saya ingin membela nasib rakyat melalui penyediaan kemudahan asas lebih teratur, efisien bagi memastikan masalah yang dihadapi selama ini dapat diselesaikan terutama melibatkan bekalan air bersih, elektrik dan liputan telefon. Saya akan cari jalan untuk wujudkan peluang pekerjaan yang pernah dijanjikan kerajaan Warisan pada PRU lepas. Berjanji sekurang-kurangnya satu juta pekerjaan tetapi sampai sekarang kadar pengangguran kian meningkat.

Ada cakap-cakap pertembungan sesama saudara sebenarnya hanya lakonan dan dibayar. Saudara dengan Mohd. Shafie bagaimana? Dibayar?
Selama saya bersama-sama Mohd. Shafie di dalam UMNO sebelum ini, saya mengalami penindasan cukup ketara. Jadi, itu sebab saya ambil keputusan untuk tidak bersama beliau apabila menubuhkan Warisan sebelum PRU lepas. Jadi, tidak timbul isu saya dibayar untuk pecahkan undi.
Sebab yang menjadi pesaing utama kepada Warisan di DUN Senallang ini adalah PN. Kita bertekad rampas kerusi. Kalau ada cakap-cakap saya dibayar, ini kerja gila. Saya masih cukup waras untuk berfikir. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN