Isyarat Bersatu sedia remajakan parti - Rafiq - Utusan Malaysia

Isyarat Bersatu sedia remajakan parti – Rafiq

MOHD. Rafiq Naizamohideen (tengah) mengadakan sidang akhbar selepas memenangi kerusi Naib Presiden parti di Bukit Katil, Melaka. - FOTO/ RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen menyifatkan kemenangan beliau dan beberapa pimpinan muda lain sebagai isyarat parti bersedia ke arah peremajaan. 

Mohd. Rafiq, 34, berkata, keputusan itu juga membuktikan Bersatu di bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai sebuah parti yang sangat demokrasi dan terbuka dalam proses pemilihan.

Menurutnya, ia juga menunjukkan Bersatu menghayati dan menyahut seruan serta saranan anak muda agar proses peremajaan parti dilakukan.

“Anak muda seperti saya usia seawal 34 tahun boleh diberi peluang dalam parti yang mana tak semua parti sedia melakukan perubahan drastik untuk saya menduduki jawatan ketiga dalam parti.

“Apa yang Bersatu anjurkan hari ini adalah persiapan awal, bukan omong kosong tetapi membuktikan Bersatu cukup bersedia meremajakan parti,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Semalam, Mohd. Rafiq yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput berjaya mengalahkan beberapa calon lain termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof.

Ujar beliau, kemenangan itu juga seiring salah satu tuntutan semasa dalam politik negara yang mana Parlimen sedang meminda Rang Undang-Undang (RUU) pemilih berusia 21 kepada 18 tahun.

“Kalau tidak dalam Pilihan Raya Umum (PRU) kali ini, PRU akan datang tak dapat elak anak muda menjadi kuasa penentu cukup besar untuk menentukan parti mana yang menjadi pemerintah,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya perancangan gerak kerja beliau bersama Mohd. Redzuan, Mohd. Rafiq berkata, beliau tidak akan mengetepikan Ahli Parlimen Alor Gajah itu yang juga Ketua Badan Pimpinan Bersatu Melaka.

“Kita bertanding dalam pemilihan sebagai satu keluarga, saya cabar beliau sebagai Naib Presiden tak bermaksud kita perlu bermusuhan selepas pemilihan tetapi saya harap kita dapat rapatkan saf untuk menghadapi PRU-15.

“Saya hormati Datuk Seri Mohd. Redzuan, beliau berjasa kepada Bersatu Melaka yang banyak menyumbang tenaga, wang ringgit bersama-sama saya pada peringkat awal kita tubuh parti dulu.

“Kita tak akan ketepikan beliau sebagai pemimpin kita di Melaka dan beliau hari ini juga menteri di peringkat Persekutuan. Saya dah hubungi untuk jumpa beliau secara empat mata,” katanya.

Ujarnya, banyak perkara yang dapat dipelajari daripada Mohd. Redzuan serta panduan, nasihat dan saranan untuk bersama-sama memacu Bersatu Melaka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya