SHAH ALAM: Keputusan representasi bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) bersama tiga bekas akauntannya akan diketahui pada 5 Oktober depan.
Representasi itu membabitkan 331 pertuduhan yang dihadapi mereka berhubung pengubahan wang haram melibatkan lebih RM38.1 juta.
Hakim Mahkamah Sesyen Datin Fatimah Zahari menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Ehsan Nasarudin memaklumkan representasi tersebut masih dalam penelitian Jabatan Peguam Negara (AGC).
“Keputusan (representasi) masih belum diperolehi pihak pendakwaan. Kami juga baharu terima representasi tambahan daripada pihak pembelaan. Justeru, saya memohon satu tarikh baharu kira-kira satu bulan setengah dari hari ini (bagi tujuan keputusan representasi),” katanya.
Sementara peguam Muhammad Zaim Rosli mewakili Nasiruddin Mohd. Ali, 67, serta pasangan suami isteri iaitu Asmat @ Asmanira Muhammad Ramly, 46, dan Mohd. Khushairi Osman, 55, mengesahkan mengemukakan representasi tambahan itu.
“Ini bagi membolehkan pendakwaan meneliti dan mendapat pertimbangan AGC,” jelasnya.
Pada prosiding itu, Muhammad Zaim turut menyebut bagi Peguam Kamal Hisham yang mewakili Hamimah Yakub, 74.
Berdasarkan pecahan pertuduhan, Nasiruddin didakwa sebanyak 77 pertuduhan berjumlah RM10,084,323.70 manakala Hamimah dengan 95 pertuduhan bernilai RM11,428,811.20.
Asmanira pula 68 pertuduhan bernilai RM4,688,205.01 sementara 91 pertuduhan berjumlah RM11,958,561.10 bagi Mohd. Khushairi.
Pertuduhan bagi kesemua kesalahan itu dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) yang boleh dihukum dibawah Subseksyen (4)1 akta sama.
Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.
Kesemua pertuduhan itu turut melibatkan prosiding yang disebut sebelum ini di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Kulim.
Pada November tahun lalu, Utusan Malaysia melaporkan sebanyak 230 pertuduhan penggubahan wang haram bernilai lebih RM2.41 juta yang dilakukan keempat-empat tertuduh di Selangor dibicarakan serentak di Mahkamah Sesyen.
Hamimah didakwa dengan 35 pertuduhan berjumlah RM9.28 juta di Mahkamah Sesyen Kulim dan Asmat @Asmanira dengan 22 pertuduhan (RM881, 813) di Mahkamah Johor Bahru serta 40 pertuduhan bernilai RM3.82 juta bagi Mohd. Khushairi di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. – UTUSAN










