Culik lelaki hingga Ke Thailand, buruh dipenjara empat tahun

Culik lelaki hingga Ke Thailand, buruh dipenjara empat tahun

TERTUDUH (tengah) diiringi polis semasa menghadiri prosiding perbicaraan di Mahkamah Seksyen Pasir Mas, Kelantan. - UTUSAN/ROSMIZAN RESDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR MAS: Seorang buruh dijatuhi hukuman penjara empat tahun dan denda RM6,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan menculik seorang lelaki serta mencuri sebuah kereta di Tendong, di sini, bulan lalu.

Tertuduh, Syamsul Azroy Che Anuar,32, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Zulkpli Abdullah.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa bersama tiga lagi yang masih bebas menculik Mohd. Shahrul Nizam Mohd .Asri, 35, dengan niat mangsa dikurung secara rahsia dan salah dalam kejadian di sebuah rumah di Tendong pukul 3.30 petang, 6 Jun lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh bersama tiga individu yang masih bebas mencuri sebuah kereta jenis Volkswagen Jetta kepunyaan Mohd. Taufik Mohd. Asri, 25, pada tarikh dan lokasi yang sama. Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 379(1) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sejingga tujuh tahun dan juga denda.

Mengikut fakta kes, ketika kejadian, mangsa, Mohd. Shahrul Nizam Mohd. berada di rumah sebelum didatangi sekumpulan empat lelaki termasuk tertuduh yang menaiki kereta Myvi dan bertanyakan di mana Mohd. Taufik kerana tidak membayar hutang.

Mangsa kemudian memaklumkan Mohd. Taufik yang juga adiknya tiada di rumah sebelum tertuduh menahan mangsa. Pada masa sama, tertuduh dan tiga yang lain turut melarikan kenderaan jenis Volkswagen Jetta milik Mohd. Taufik.

Mangsa kemudian dikurung di sebuah rumah di Thailand sebelum dilepaskan pada keesokannya dan diselamatkan polis Thailand. Katanya, dalam kes berkenaan tertuduh juga menggunakan senjata ketika menculik dan tindakan berkenaan nekad tanpa memikirkan kesannya selain mangsa culik dibawa ke Thailand.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aiysha Na’ilah Harizan manakala tertuduh tidak diwakili peguam. Terdahulu, Siti Aiysha Na’ilah memohon hukuman setimpal dikenakan untuk memberi pengajaran kepada tertuduh.

Katanya, dalam kes berkenaan tertuduh juga menggunakan senjata ketika menculik dan tindakan berkenaan nekad tanpa memikirkan kesannya selain mangsa culik dibawa ke Thailand.

Syamsul Azroy bagaimanapun memohon hukuman ringan dikenakan selain hukuman berjalan dari tarikh ditangkap. Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara empat tahun dari tarikh ditangkap pada 16 Jun dan denda RM3,000 bagi kes menculik dan gagal bayar akan dipenjara tiga bulan.

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh dipenjara tiga tahun dan denda RM3,000 dan jika gagal bayar akan dipenjara tiga bulan. Mahkamah memerintahkan kedua-dua hukuman berkenaan berjalan serentak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN