Pelajar ditimpa kipas siling terima ganti rugi RM6,000

Pelajar ditimpa kipas siling terima ganti rugi RM6,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak yang ditimpa kipas siling ketika sedang belajar di dalam kelas empat tahun lalu menerima ganti rugi RM6,000 selepas Mahkamah Majistret Selama, Perak membenarkan sebahagian tuntutannya.

Dalam penghakiman yang dibuat oleh Majistret Prabakaran Rajoo bertarikh 23 Mac lalu, turut memberikan kos sebanyak RM1,075.

Majistret memutuskan demikian selepas mendapati bahawa defendan-defendan gagal memastikan kipas terbabit dalam keadaan selamat dan telah diselenggara dengan baik.

Selain itu, Prabakaran memutuskan bahawa Kerajaan Malaysia bertanggungjawab secara vikarus ekoran kecuaian dan pelanggaran tangguhngjawab oleh defendan pertama hingga keempat.

Bagaimanapun, mahkamah menolak tuntutan ganti rugi bagi gangguan tekanan selepas trauma (PTSD), khas, punitif, teladan oleh kanak-kanak berkenaan yang merupakan pelajar darjah dua sewaktu kejadian kerana tuntutan-tuntutan tersebut gagal dibuktikan.

Dalam saman yang difailkan oleh plaintif yang kini berusia 12 tahun melalui bapanya pada Januari 2024, plaintif menamakan guru besar sebuah sekolah rendah kebangsaan di Selama dan Pegawai Pendidikan Daerah Larut Matang dan Selama sebagai defendan pertama dan kedua.

Turut dinamakan sebagai defendan ialah Pengarah Pendidikan Negeri Perak, Ketua Pengarah Pendidikan dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan ketiga hingga kelima.

Dalam kejadian tersebut, pelajar terbabit mengalami kecederaan patah tulang jari telunjuk tangan kiri dan  kecederaan tisu lembut di bahagian dada tengah.

Menurut penghakiman Prabakaran, Majistret berkenaan menyatakan defendan pertama hingga keempat sewajarnya menjalankan tanggungjawab mereka seperti seorang bapa yang prihatin (careful father).

“Defendan-defendan menghujahkan bahawa insiden tersebut berlaku secara tiba-tiba dan oleh itu tiada langkah munasabah yang boleh diambil untuk mengelakkannya. Defendan (turut) menyatakan bahawa langkah-langkah munasabah telah diambil untuk memastikan kipas tersebut disenggara dengan baik.

“Dengan hormatnya, Mahkamah tidak bersetuju dengan hujahan tersebut. Kewujudan kipas siling yang dipasang di atas ruang pembelajaran murid merupakan suatu risiko yang boleh dijangka secara munasabah. Kegagalannya tidak berlaku secara luar biasa tanpa sebarang punca.

“Keduanya, SD1 (Guru Besar) cuba bergantung kepada amalan pemeriksaan secara ‘lihat dan dengar’ bagi memastikan sama ada terdapat kerosakan pada kipas siling tersebut. Pemeriksaan secara visual semata-mata oleh guru tidak boleh menggantikan kewajiban defendan pertama hingga keempat untuk memastikan penyelenggaraan berkala.

“Dengan mengambil kira prinsip kes terdahulu, tanggungjawab berjaga-jaga adalah seperti penjagaan seorang ‘careful father’ maka adalah dijangkakan bahawa langkah lebih munasabah seperti penyelenggaraan berkala, audit keselamatan dan pemeriksaan teknikal oleh pihak berkelayakan perlu dilaksanakan terhadap peralatan seperti kipas siling,” kata Majistret tersebut.

Selain itu, Mahkamah turut menyatakan bahawa kegagalan defendan-defendan mengemukakan laporan penyelenggaran dan laporan kejadian yang didakwa dikeluarkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Larut Matang dan Selama merupakan satu bentuk penahanan keterangan material (suppression of material evidence).

“Oleh yang demikian, Mahkamah membuat inferens (tanggapan) bahawa sekiranya laporan-laporan tersebut dikemukakan, kandungannya adalah tidak menyokong pembelaan defendan bahawa kerja-kerja penyelenggaraan yang mencukupi telah dijalankan ke atas kipas siling yang terlibat dalam insiden ini,” katanya.

Merujuk kepada tanggungjawab vikarus (vicarious liability), Majistret itu menyatakan defendan pertama hingga keempat adalah pegawai yang melaksanakan fungsi serta tanggungjawab Kerajaan Malaysia atau ejen pelaksana dalam pelaksanaan sistem pendidikan di sekolah tersebut termasuk berkaitan pengurusan, pengajaran serta keselamatan murid-murid di sekolah.

“Dalam keadaan tersebut, Defendan Kelima (Kerajaan Malaysia) kekal mempunyai kawalan, pengawasan serta tanggung jawab keseluruhan terhadap pelaksanaan tugas oleh defendan pertama hingga keempat. 

“Oleh itu, Defendan Kelima bertanggungjawab ke atas segala perbuatan dan kegagalan (acts and omissions) yang dilakukan oleh mereka dalam kapasiti tersebut. Defendan Kelima adalah bertanggungan secara bersama dan berasingan (jointly and severally liable),”kata Prabakaran. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN